Monday, 2 September 2024

TAJUK: PERKATAAN SYAITAN (الشيطان) (SATAN) MENURUT AL-QUR’AN

DR.MKM: THE WAY I SEE IT

Abstrak: Analisis Kritikal terhadap Teori dan Konsep Semasa Dibandingkan dengan Kefahaman Islam dan Al-Quran mengenai Isu-Isu Bahasa, Falsafah, Sosial, Psikologi dan Pembangunan Kerohanian Manusia.

Abstract: Critical Analysis of Current Theory and Concept Compared to Islamic and Al-Quran Understanding of Language, Philosophy, Social, Psychological and Human Spiritual Development Issues.

TAJUK: PERKATAAN SYAITAN (الشيطان) (SATAN) MENURUT AL-QUR’AN

TITLE: THE TERM OF THE SATAN (الشيطان) (THE DEVIL) ACCORDING TO THE QURAN

oleh Dr. Mostafa Kamal Mokhtar (Ph.D)

 



 

    

Penulis (Author):  Dr. Mostafa Kamal Mokhtar (Ph.D) (1) 

Sarjanamuda Pengajian Islam (Kepujian)/Bachelor of Islamic Study (Honours), Univeristi Kebangsaan Malaysia, Bangi.

Sarjana Sastera (Falsafah Agama)/Master of Art (Philosophy of Religion), University of Birmingham, United Kingdom.

Doktor Falsafah Ilmu Wahyu dan Kemanusian (Teologi dan Pembangunan Spiritual Manusia/Doctor of Philosophy in Revealed Knowledge and Human Sciences (Theology and Human Spiritual Development). Islamic International University of Malaysia, Gombak.

Mantan Pensyarah Fakulti Sains Pembangunan dan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM. (Former Lecturer at the Faculty of Development Sciences and the Faculty of Social Sciences and Humanities, UKM).


ISI KANDUNGAN

TAJUK: PERKATAAN SYAITAN (الشيطان) (SATAN) MENURUT AL-QUR’AN.. 3

Prakata (المقدّمة) Penelitian Ilmiah. 3

Etimologi Perkataan Syaitan. 3

Definisi Perkataan Syaitan. 3

Akhir Kata. 7

Rujukan. 7

ENDNOTE.. 8


TAJUK: PERKATAAN SYAITAN (الشيطان) (SATAN) MENURUT AL-QUR’AN

Pendahuluan (المقدّمة) Penelitian Ilmiah

Dalam penulisan ini, dimulakan perbincangan asal usul perkataan Syaitan, kemudian dibincangkan makna semantik (hakikat makna) perkataan syaitan mengikut fahaman al-Qur’an. Akhirnya disimpulkan bahawa makna sebenar Syaitan adalah: pertama, Iblis jenis makhluk Jin yang tergolong dalam makhluq hidup yang berakal/berperasaan yang dicipta oleh Allah swt; kedua, sifat atau perangai perorangan (seseorang) yang menentang Allah swt.

Etimologi Perkataan Syaitan

Perkataan Syaitan telah digunapakai oleh pelbagai bahasa dengan beberapa sebutan yang kadang-kadang agak berbeza, contohnya seperti SETAN dalam Bahasa Melayu, SATAN dalam Bahasa Inggeris dan seumpamanya. Perkataan ini boleh sebenarnya dirujuk kepada atau berasal daripada Bahasa Arab. Kata akar SYAITAN dalam Bahasa Arab, jika disandarkan kepada al-Qur’an, terdiri daripada tiga huruf shin ṭā nūn (ش ط ن) yang disebut sebanyak 88 kali dalam al-Quran, dalam bentuk kata nama (nominal) (إسْمٌ), dengan sebutan shayṭān (شيطان) untuk bilangan satu (single), dan disebut syayatun (شَياطُونَ) untuk bilangan banyak atau ramai (plural).

Definisi Perkataan Syaitan

Istilah Syaitan mengikut al-Qur’an ini boleh ditafsirkan kepada DUA maksud sebenar seperti berikut:

Makna Pertama, mengikut Kitab Bible (Kristian), Taurat (Yahudi) dan Al-Quran (Muslim), perkataan Syaitan bermaksud IBLIS (إبليس), iaitu Ketua Roh Jahat atau Jin jahat (the chief or head of evil spirit; the Devil), [2]  yang sering disebut secara saling boleh ditukar-ganti (interchangeable) dengan perkataan Syaitan, khasnya di dalam al-Qur’an. Syaitan mungkin difahami pada zaman sekarang sebagai satu SPESIS (species), di bawah kategori jenis (genus) bagi makhluk berperasaan atau berakal (sentient creation) dalam kumpulan keluarga (family) makhluk yang hidup (living creation) mengikut kategori ontologi (ontological category) dalam al-Qur’an. Perlu juga difahami, bahawa dalam spesis yang sama dalam kumpulan makhluk berakal / berperasaan ini juga didapati makhluq lain seperti Malaikat (الملائكة), Manusia (الناس) dan Binatang melata di bumi (دابة الأرض) (beast of the earth). Gambaran penyusunan kategori ontologi atau kewujudan / keberadaan makhluq bernama Syaitan boleh dilihat dalam Gambarajah 1 seperti dibawah:

Gambarajah I: Kategori Terma Syaitan mengikut al-Qur’an

 

Sumber: Ubahsuai daripada pembacaan yang merujuk kepada The Quranic Arabic Corpus: The Quranic Arabic Corpus - Word by Word Grammar, Syntax and Morphology of the Holy Quran: https://corpus.quran.com/  [3]

Selari dengan perkara yang disebut di atas, Iblis, dalam spesis Jin, yang ingkar dengan perintah Allah swt, telah menjadi Syaitan. Penyataan ini boleh difahami melalui firman Allah swt, bermaksud, ‘Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam (as)", lalu mereka sujud kecuali Iblis. Dia dari golongan Jin dan menyimpang / ingkar dari perintah Tuhannya. Maka adakah kamu akan mengambil dia (iblis) dan keturunannya sebagai wali (آولياء) selain daripada-Ku, sedang mereka sentiasa memusuhi kamu? Amat buruklah bagi orang-orang yang zalim yang melakukan pertukaran ini [iaitu memilih Iblis dan sekutunya, bukan memilih Allah swt]’. Kronologi peristiwa dari keingkaran Iblis ini, maka Allah swt telah menyebut Syaitan, bukan Iblis, dalam penceritaan seterusnya dalam kisah penurunan Adam as beserta isterinya, Hawwa, ke bumi daripada Syurga (الجنة). Kisah ini disebut dengan jelas dalam firman-Nya, bermaksud, ‘Tetapi Syaitan (الشيطان) telah menyebabkan mereka (Adam as dan Hawa) tergelincir daripadanya (الجنّة) dan mengeluarkan mereka dari [keadaan] di mana mereka berada’ [al-Baqarah 2: 36].

Dalam al-Qur’an, perkataan Syaitan yang juga bermaksud Iblis boleh difahami melalui ayat-ayat seperti:

  a) ‘Dan sesiapa yang Syaitan (الشيطان) menjadi temannya (قرينا) - maka amatlah jahat (سَآءَ) dia (syaitan) sebagai teman.’ [al-Nisa’ 4: 38] dan ayat bermaksud, ‘Dan sesiapa yang menjadikan Syaitan (الشيطان) sebagai wali (وليّا) selain Allah, maka sesungguhnya dia telah mendapat kerugian yang nyata.’ [al-Nisa’ 4: 119]. Dalam ayat-ayat tersebut, manusia yang menjadikan syaitan sebagai ‘teman, sahabat, wali’ menunjukkan bahawa perkataan syaitan tersebut, secara semantiknya atau hakikatnya, bermaksud satu spesis makhluq yang berakal /berperasaan sama dengan spesis manusia, sehingga mereka mampu bersahabat di antara satu sama lain.

  b) 'Bukankah Aku (اللّه) telah perintahkan kepada kamu, wahai anak Adam, supaya kamu tidak menyembah Syaitan (الشيطان) - [kerana] sesungguhnya dia (الشيطان) adalah musuh yang nyata bagi kamu' [Yaasin 36: 60]. Syaitan dalam ayat ini, secara semantiknya, bermaksud satu entiti kewujudan yang beranggota atau berjirim, sama ada nampak atau tidak, yang mampu dijadikan ‘objek’ untuk disembah dalam ritual peribadatan, yang presis (precisely) seperti Iblis.

  c) ‘Maka apabila kamu membaca Al-Quran, hendaklah kamu berlindung kepada Allah swt daripada Syaitan (الشيطان) yang direjam’ [al-Nahl 16: 98]. Ayat ini, mensyariatkan kepada setiap Muslim perlu memohon perlindungan dari syaitan ketika membaca al-Qur’an. Permohonan ini amat diperlukan kerana ditakuti syaitan atau Iblis, dalam bentuk spesis yang berakal, mampu menggangu, manusia daripada beribadat kepada Allah swt. Ini kerana Iblis sudah berjanji secara azalinya akan terus menyesatkan  anak-anak bani Adam as daripada peribadatan secara ikhlas kepada Allah swt seperti yang telah dijanji oleh Iblis (Syaitan) dalam ayat Sad 38: 82-83, bermaksud, ‘Iblis (Syaitan)) berkata: "Demi kekuasaan Engkau (Allah swt), sesungguhnya aku (Iblis) akan menyesatkan mereka (anak-anak Adam as) semuanya, Kecuali hamba-hamba-Mu yang terpilih (المُخْلَصِيْنَ) di antara mereka [iaitu yang percaya, taat, ikhlas, dan benar-benar beriman kepada Tauhid)”. Jadi perkataan Iblis juga, secara semantiknya, di sini bermaksud Iblis, spesis Jin, yang mengingkari Allah swt, entiti jahat yang perlu dijauhi.

Makna Kedua, Syaitan juga bermaksud orang (person) atau perorangan (personal) yang mempunyai SIFAT KESYAITANAN, iaitu kata sifat (الصِفة) (attribute) yang bersifat seperti sombong, takbur, riak, melulu, membazir, peminum arak, berjudi dan ganas. Jadi sesiapa sahaja yang memiliki Sifat Syaitan tersebut, khasnya dalam mengingkari perintah Allah swt, maka dia akan disebut sebagai syaitan.

Selari dengan penceritaan Iblis menjadi Syaitan akibat sikap dan sifatnya yang mengingkari perintah Allah swt, yang telah dibincangkan sebelum ini, maka sesiapa sahaja sama ada Jin atau pun Manusia, yang mengingkari perintah Allah swt, akan menyebabkan dia digolongkan dalam kalangan Syaitan. Pandangan ini boleh difahami dengan jelas, melalui ayat al-Qur’an al-An’am 6: 112, bermaksud, ‘Dan demikianlah Kami (الله) jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh (عَدُوٌّ) – syaitan-syaitan (شَياطِيْنَ) daripada kalangan manusia (الإنْسِ) dan jin (الجِنِّ), yang mengilhamkan (يُوحَى) atau menghiaskan di antara satu sama lain dengan perkataan hiasan yang penuh kesesatan. Jikalau Tuhanmu menghendaki, niscaya mereka tidak mengerjakannya, maka tinggalkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan’.

Akhir Kata

Kesimpulannya, perkataan Syaitan dalam al-Qur’an, pertamanya, membawa maksud Iblis, spesis Jin dalam kalangan jenis (genus) makhluk hidup yang berakal atau berperasaan yang dicipta oleh Allah swt (rujuk Gambarajah 1). Keduanya, Syaitan juga bermaksud seseorang atau perorangan, sama ada Jin atau Manusia, yang bersifat dengan ‘Sifat Kesyaitanan’ akhirnya dia akan dipanggil sebagai Syaitan.

Rujukan

Edward William Lane. 1863. Arabic-English Lexicon. London: Willams & Norgate.

Ibn Kathir. 2003. Tafsir Ibn Kathir. Terjemahan (English). Edisi ke-2. Safi al-Rahman al-Mubarakpuri Riyard, et.al. Lebanon: Maktabah al-Dar al-Salam

Mustansir Mir. 1987. Dictionary of Qur’anic Terms and Concepts. New York & London: Garland Publishing, Inc.

The Quranic Arabic Corpus; Kais Dukes, 2009-2017. (Online 1 Sept. 2024) The Quranic Arabic Corpus - Quran Dictionary: https://corpus.quran.com/qurandictionary.jsp?q=%24Tn

___________________________________________________________________________________

Nota Akhir (endnote)

[1] Biodata ringkas penulis boleh didapati melalui: Mostafa Kamal Mokhtar | Facebook: https://www.facebook.com/mostafakamal.mokhtar/ ; atau penulisan penulis boleh dibaca melalui: Mostafa Kamal Mokhtar - Google Scholar : https://scholar.google.com.my/citations?view_op=list_works&hl=en&hl=en&user=zjjG6_8AAAAJ%E2%80%AC%E2%80%AC%E2%80%AC&user=XmbGEQ8AAAAJ ; atau Dr. MOSTAFA KAMAL MOKHTAR (PhD). (mostafakamalmokhtar1961.blogspot.com): https://mostafakamalmokhtar1961.blogspot.com/ ; atau (46) Mostafa Kamal Mokhtar | LinkedIn : https://www.linkedin.com/in/mostafa-kamal-mokhtar-14558b50/ ; penulis boleh dihubungi melalui mostafakamalmokhtar@gmail.com

[2] Edward William Lane. 1863. Arabic-English Lexicon. London: Willams & Norgate. (online Sept 3, 2024): Arabic-English Lexicon by Edward William Lane (tyndalearchive.com): https://www.tyndalearchive.com/TABS/Lane/

[3] Satan - Ontology of Quranic Concepts from the Quranic Arabic Corpus: https://corpus.quran.com/concept.jsp?id=satan


No comments:

Post a Comment

PENGANTAR FALSAFAH: APA ITU FALSAFAH?

  PENGANTAR FALSAFAH / INTRODUCTION TO PHILOSOPHY ISI KANDUNGAN Pengenalan tentang Falsafah sebagai satu disiplin akademik di peringkat pen...