ISI KANDUNGAN
Perkembangan dan Pecahan Falsafah
Mengapa Perlu Pelajari Falsafah?
Kepentingan Falsafah dalam
Kehidupan Manusia
Persamaan dan Perbezaan di antara Falsafah, Agama dan Sains
PENGANTAR FALSAFAH / INTRODUCTION TO
PHILOSOPHY
Penulis: Mostafa Kamal bin Mokhtar
(Ph.D.); Arena Che Kasim (Ph.D); Azmi Aziz (Ph.D)
Biodata Penulis
Dr. Mostafa Kamal
Mokhtar (Ph.D) [i]
Beliau adalah mantan pensyarah Fakulti
Sains Pembangunan, Kampus Sabah dan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM. Berkelulusan Sarjanamuda Pengajian Islam
(Kepujian)/Bachelor of Islamic Study (Honours), Univeristi Kebangsaan
Malaysia, Bangi; Sarjana Sastera (Falsafah Agama)/Master of Art (Philosophy
of Religion), University of Birmingham, United Kingdom.; Doktor Falsafah Ilmu Wahyu dan Kemanusiaan
(Teologi dan Pembangunan Spiritual Manusia/Doctor of Philosophy in Revealed
Knowledge and Human Sciences (Theology and Human Spiritual Development).
Islamic International University of Malaysia, Gombak. Beliau boleh dihubungi
melalui e-mail: mostafakamalmokhtar@gmail.com
Dr. Arena Che Kasim
(Ph.D)
Beliau adalah Pensyarah Kanan di Pusat
Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia (PsiTra). Beliau berkelulusan ijazah
Sarjana muda dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Sarjana Pengajian
Islam dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Melanjutkan pelajaran ke peringkat
PhD mengkhusus dalam bidang Psikospiritual Islam di University of Wales
Trinity Saint David, Wales, United Kingdom. Penyelidikan utama beliau
adalah tertumpu kepada aspek Psikospiritual Islam (psikologi agama), etika dan
integriti, nilai, toleransi dan kekeluargaan. Beliau boleh dihubungi melalui e-mail:
arena@ukm.edu.my
Dr. Azmi Aziz (Ph.D)
Beliau adalah Pensyarah Kanan Program
Sains Pembangunan, FSSK, UKM Bangi. Bidang kepakaran beliau adalah agama dan
masyarakat; falsafah dan teori sosial. Beliau boleh dihubungi melalui e-mail: abaz@ukm.edu.my
[i] Biodata ringkas penulis boleh
didapati melalui: Mostafa Kamal Mokhtar |
Facebook: https://www.facebook.com/mostafakamal.mokhtar/
; atau penulisan penulis boleh dibaca melalui: Mostafa Kamal Mokhtar - Google Scholar : https://scholar.google.com.my/citations?view_op=list_works&hl=en&hl=en&user=zjjG6_8AAAAJ%E2%80%AC%E2%80%AC%E2%80%AC&user=XmbGEQ8AAAAJ
; atau Dr. MOSTAFA KAMAL MOKHTAR
(PhD). (mostafakamalmokhtar1961.blogspot.com): https://mostafakamalmokhtar1961.blogspot.com/
; atau (46) Mostafa
Kamal Mokhtar | LinkedIn : https://www.linkedin.com/in/mostafa-kamal-mokhtar-14558b50/
; penulis boleh dihubungi melalui mostafakamalmokhtar@gmail.com
BAB SATU: FALSAFAH
Etimologi Falsafah
Dalam tradisi Ilmu Barat, perkataan “falsafah” berasal daripada istilah Yunani φιλοσοφία (disebut: philosophía), yang merupakan gabungan dua perkataan: [1]
Philo- (φίλος, disebut phílos): bermaksud “cinta” atau “kasih sayang”.
-Sophia (σοφία, disebut sophía): bermaksud “kebijaksanaan”.
Jadi, falsafah secara harfiah atau literal bermaksud “cintakan kebijaksanaan” (love of wisdom).
Istilah ini mungkin dicipta oleh ahli falsafah Yunani Purba
/ Kuno bernama Pythagoras
(c. 570- c.495 SM/BC), yang menggunakannya untuk menggambarkan pencarian
pengetahuan dan pemahaman tentang kehidupan dan alam semesta. Oleh itu, ahli
falsafah adalah “pencinta kebijaksanaan” (lovers of wisdom) atau sahabat
kebijaksanaan (friends of wisdom) yang berusaha memahami dunia melalui
penaakulan dan penyelidikan. Istilah ini juga digunakan oleh orang Yunani Purba
untuk menggambarkan satu aktiviti penyelidikan intelektual dan penyiasatan
rasional terhadap persoalan asas tentang kewujudan, alam realiti, pengetahuan,
etika, dan sifat alam semesta.
Ahli falsafah, seperti Socrates (c. 470–399 SM), Plato
(c. 427 – 348 SM), dan Aristotle
(384–322 SM), adalah antara tokoh yang paling terkenal yang dikaitkan
dengan perkembangan falsafah di zaman Yunani Kuno yang menjadi rujukan dan
ikutan utama para falsafah yang datang kemudiannya. Sejak itu, falsafah telah
berkembang dan bercabang menjadi pelbagai aliran pemikiran dan pandangan,
bertujuan meneroka aspek pengalaman dan pemahaman manusia yang berbeza-beza.
Perkataan seerti atau sinonim bagi falsafah ialah sikap,
doktrin, idea, ideologi, logik, cara / gaya pandang, penghujahan / penaakulan, pemikiran,
sudut pandangan dan kebijaksanaan.
Definisi Falsafah
Secara
umumnya, falsafah bermaksud pengkajian atau penyelidikan yang sistematik dan
kritis tentang persoalan asas tentang kewujudan, pengetahuan, nilai, akal /
minda, fikiran, dan bahasa. Ia melibatkan pemikiran kritis, analisis,
dan penghujahan, untuk meneroka konsep yang sukar diberikan jawapan yang mudah
dan pasti.
Ahli falsafah berusaha untuk memahami sifat semula jadi alam
realiti, prinsip ilmu pengetahuan, asas pemikiran dan tingkah laku manusia, prinsip
yang mendasari etika dan moral. Mereka menggunakan pelbagai kaedah yang ketat
dalam analisis, penghujahan, dan refleksi, untuk menangani persoalan asas tersebut,
yang selalunya meneliti andaian, konsep dan hujah yang mendasari pelbagai
kepercayaan dan amalan.
Falsafah boleh dibahagikan kepada beberapa cabang utama atau penting yang menjadi tema utama dalam semua perbincangan, antaranya:
Metafizik: Kajian tentang hakikat alam realiti, kewujudan atau ontologi, dan alam semesta.
Epistemologi: Kajian tentang ilmu pengetahuan dan sumbernya, kepercayaan dan hakikat kebenaran.
Etika: Kajian tentang nilai moral, prinsip, dan sifat benar dan salah.
Falsafah Politik: Kajian tentang kerajaan, keadilan, hak dan implikasi etika terhadap tindak-tanduk politik. Sebahagian ahli falsafah memasukkan cabang politik ini dalam kategori etika amali, kerana etika boleh dibahagikan kepada dua, iaitu etika teori dan etika amali.
Estetika: Kajian tentang keindahan, Kecantikan, seni dan rasa, dan ekspresi artistik.
Logik: Kajian tentang penaakulan, struktur penghujahan, dan prinsip inferens yang sah.
Secara keseluruhannya, falsafah bertujuan untuk memperdalam pemahaman
kita tentang dunia, tempat di mana kita diami, memupuk rasa ingin tahu secara intelektual,
pemikiran kritis, dan penggunaan refleksi, imbauan dan renungan dalam cuba
memahami kerumitan pengalaman manusia di peringkat individu dan masyarakat.
Jika
diteliti definisi khusus dalam beberapa buku, kamus dan ensiklopedia, falsafah membawa
maksud dan pengertian seperti berikut:
a. Falsafah adalah pemikiran secara
sistematik, kritikal dan rasional tentang hakikat asas alam semesta (metafizik atau teori kewujudan), justifikasi sesuatu
kepercayaan (epistemologi atau teori ilmu), dan cara-gaya kehidupan
(etika, falsafah moral atau teori nilai).[2]
b. Falsafah ialah pengkajian masalah asas,
penting, abstrak dan secara umum. Masalah tersebut termasuk mengkaji hakikat
kewujudan, ilmu, moral, penaakulan dan tujuan kehidupan manusia.[3]
c. Falsafah adalah disiplin akademik yang
menerangkan secara jelas tentang hakikat alam semester dan kepentingan sesuatu
kepercayaan, dan menyiasat kebenaran sesuatu konsep melalui penghujahan
rasional yang meneliti dari sudut andaian, implikasi dan perkaitannya;
khususnya pengkajian tentang hakikat dan struktur realiti (metafizik), sumber dan batasan ilmu
(epistemologi), prinsip dan asas penghakiman moral
(etika), dan hubungan di antara bahasa dan
realiti (semantik).[4]
d. Falsafah adalah percubaan rasional untuk merumus, memahami dan menjawab persoalan
dasar dan asas.[5]
e.
Menurut Encyclopedia Britannica, [6]
falsafah ditakrifkan sebagai pertimbangan rasional, abstrak, dan berkaedah
mengenai alam realiti secara keseluruhan atau dimensi asas tertentu, berkaitan
kewujudan dan pengalaman manusia. Ia adalah penelitian terhadap persoalan
kewujudan yang paling asas, seperti soalan-soalan: Apa itu kehidupan yang
baik? Apakah makna dan sifat pengetahuan? Apakah prinsip atau kuasa yang
mengawal alam semesta? Apakah Tuhan wujud?.
Jika metode Ilmu Sains lebih menekankan kepada kajian dan
penyelidikan berasaskan uji-kaji makmal dan kerja lapangan yang sistematik, maka
metode pengkajian falsafah akan menggunakan kaedah pemikiran kritikal tetapi
sistematik, dalam cuba menghuraikan sesuatu persoalan atau permasalahan, dan
jalan penyelesaiannya pula amat bergantung kepada penaakulan dan penghujahan
yang rasional.
Perkembangan dan Pecahan Falsafah
Walaupun
subjek atau topik utama pengkajian falsafah ialah epistemologi, logik, metafizik, etika dan estetika. Pun begitu korpus
ilmu falsafah telah berkembang dengan pesat sekali, menjadi lebih luas dan
sudah menjangkau masa yang terlalu lama dari segi sejarahnya. Pecahan terkini korpus
ilmu falsafah tersebut boleh diteliti melalui Jadual 1.1. yang cuba menggambarkan
tentang perkembangan dan pecahan dalam korpus ilmu tersebut.
Jadual
1.1. Korpus Ilmu Falsafah [7]
Tradisi / Era / Aliran |
Analitik; Aristotelian; Buddisme; China;
Benua Kontenental; Humanisme; Idealisme; Materialisme; Fenomenologi;
Eksistensialisme; Empirisisme; Positivisme; Modenisme; Pascamodenisme;
Hinduisme; Jainisme; Pragmatisme; Timur; Islam; Platonik; Skolastik Barat. |
Period / Abad |
Kuno; Pertengahan; Moden; Semasa atau kontemporari |
Cabang atau Topik Utama |
Estetika; Epistemologi; Etika; Logik; Metafizik |
Falsafah Gunaan |
Falsafah Sosial; Falsafah Politik; Falsafah Pendidikan;
Falsafah Sejarah; Falsafah Agama; Falsafah Sains; Falsafah Minda; Falsafah
Bahasa; Falsafah Psikologi; falsafah Undang-undang |
Mengapa Perlu Pelajari Falsafah?
Secara
umumnya, terdapat banyak sebab mengapa perlu belajar falsafah. Antaranya sifat ‘ingin
tahu’, cakna dan ‘suka menyemak’ yang
sememangnya wujud dalam diri semua manusia.
Dalam kehidupan ini, manusia sering mencari jawapan kepada soalan yang
nampaknya mudah tetapi sukar dijawab dengan penuh meyakinkan. Contohnya, adakah kita benar-benar tahu
apa yang kita tahu, yang akhirnya membentuk sifat keilmuan kita? Bagaimana cara
yang terbaik harus kita menjalani kehidupan kita di dunia ini, yang akhirnya
merupakan destinasi hidup kita, yang berkaitan dengan kebahagiaan dan
kegembiraan kita? Apakah keadilan dan kesaksamaan? Wujudkan Tuhan? Apa terjadi
selepas kita mati? Apakah wujud keindahan di dalam dunia ini? Begitulah
seterusnya, soalan demi soalan, yang tidak mampu dijawab secara mudah dan
meyakinkan.
Bahkan masih banyak lagi persoalan demi persoalan yang masih
belum terjawab dalam benak pemikiran manusia. Antaranya bolehkah manusia
mempunyai ilmu yang benar-benar meyakinkan? Apakah yang menyebabkan kita
memiliki alasan kukuh untuk mempercayai sesuatu? Kenapa kita hanya percaya
setelah terdapat bukti yang kukuh? Adakah wujud di dunia ini perkara yang
mustahil dan di luar kemampuan kita mengetahuinya? Siapakah hakikat sebenar
diri kita? Adakah kita tentukan hidup kita atau ditentukan? Adakah nombor
wujud? Apakah kriteria bagi sesuatu itu dianggap cantik? Adakah kita bebas
sepenuhnya melakukan sesuatu? Mengapa sesuatu perbuatan itu dianggap baik atau
sebaliknya? Apakah kebahagiaan sebenarnya? Adakah Tuhan benar-benar wujud?
Adakah realiti itu benar-benar betul?
Semua persoalan tersebut di atas, disedari atau tidak, sebenarnya telah
cuba dijawab dan diperjelaskan oleh para falsafah sejak wujudnya ilmu tersebut
dalam tajuk-tajuk utama falsafah seperti epistemologi, metafizik, logik, etika dan estetika. Jadi semua persoalan tersebut, sebenarnya,
memang mampu kita fahami dengan jelas dan tepat setelah mempelajari ilmu falsafah.[8]
Secara akademiknya, khasnya dalam pembelajaran di peringkat
pengajian tinggi, mempelajari falsafah boleh menghasilkan hasil pembelajaran
berupa kemahiran yang boleh-pindah milik dan membentuk keperibadian, bukan
sahaja untuk kegunaan akademik, tetapi juga untuk kehidupan secara umumnya.
Antara hasil pembelajaran tersebut, seperti yang dijelaskan oleh University of Western Australia,
[9]
adalah seperti berikut:
a. Kemahiran pemikiran atau penaakulan seperti logik; analisis dan sintesis; memahami
konsep; bersikap kritis; mempersoalkan tanggapan dan pandangan; berhujah
terhadap sesuatu kes; penyelesaian masalah dan membuat keputusan
b. Menangkap simbolisme seperti sistem
formal; penghujahan statistik; literasi komputer
c. Pemahaman: mahir memahami teks yang
sukar dan kompleks; mendengar pandangan orang lain; menghormati pendapat
berbeza; mampu menghadapi tahap ketidakpastian yang tinggi
d. Berpandangan yang dalam dan luwes:
melihat melewati batas disiplin tradisional; mengenal pasti prinsip asas dan
kaedah pelaksanaan; mengesan perkaitan
dan hubungan; bersikap objektif dan adil
e. Amalan Kendiri yang suka menyemak
kembali atau bertindak balas secara spontan: mampu tangani soalan tahap tinggi;
sedar tentang kemampuan berfikir dan menggunakan bahasa; mampu menilai kekuatan
dan kelemahan pihak lain
f. Keaslian: kebebasan berfikir;
berkebolehan mengubah persekitaran yang sering berubah; berupaya membuat contoh
demi contoh
g. Bekerjasama: keupayaan untuk bekerja
dalam kumpulan dalam kapasiti yang berlainan; sumbangan yang membina untuk
perbincangan berkumpulan dan produk bersama
h. Kebertanggungjawaban: keupayaan untuk
bertindak secara autonomi dan belajar secara bebas; kesedaran mengenai
implikasi etika.
i. Kemahiran berkomunikasi: membina
kemahiran menulis yang bersifat penghuraian, perbandingan, penaakulan, analitis dan deskriptif yang akan
membolehkan kita menyampaikan idea dan pemikiran dengan jelas, tepat dan
bertenaga.
Kepentingan
Falsafah dalam Kehidupan Manusia
Secara lebih umum, mempelajari falsafah amat berharga dan
mempunyai beberapa kepentingan tertentu yang amat berguna kepada setiap
individu dan masyarakat semasa menjalani kehidupan seharian dan berkerjaya.
Berikut adalah beberapa sebab, hasil pembelajaran dan kemahiran bagi menggambarkan
kepentingan mempelajari falsafah, seperti yang digarap dalam Jadual 1.2.
Jadual
1.2: Kepentingan Mempelajari Falsafah
Kepentingan
Falsafah |
Huraian
Kepentingan |
1. Membina Kemahiran Berfikiran Kritis |
Falsafah mengajar anda untuk menganalisis hujah, mengenal
pasti kesilapan logik, membina hujah yang koheren, boleh dibuktikan dan beralasan. Kemahiran ini boleh digunakan
dalam semua bidang kehidupan, daripada membuat keputusan secara peribadi sehingga
penyelesaian masalah secara profesional.
|
2. Menggalakkan Mengimbau atau Merenung
kembali secara mendalam |
Falsafah
menggalakkan anda untuk mempersoalkan andaian, merenung hakikat kewujudan,
dan meneroka makna kehidupan, moral, dan sifat semula jadi manusia. Renungan
yang mendalam ini boleh membawa kepada kehidupan yang lebih bernas dan
bermakna.
|
3. Meluaskan Pemahaman melalui Perbezaan
atau Pelbagai Perspektif
Dengan mengkaji idea-idea ahli falsafah dan aliran
pemikiran yang berbeza, anda mendapat pandangan tentang pelbagai perspektif
mengenai isu asas. Ini memupuk empati, toleransi dan sikap memahami perbezaan
yang lebih halus tentang dunia dan persekitarannya.
4. Meningkatkan Kemahiran Berkomunikasi
Falsafah memerlukan gaya bicara atau pengucapan idea-idea
kompleks yang tepat dan jelas. Ini membantu anda menjadi pembicara yang lebih
berkesan, dalam penulisan dan pertuturan, sambil anda belajar untuk
menyatakan pemikiran yang kompleks dengan cara yang logik, menarik dan meyakinkan
5. Ilmu atau Disiplin Asas untuk Disiplin
Pengajian Lain
Falsafah
adalah ilmu atau disiplin asas kepada banyak disiplin lain, khasnya dalam
bidang Sains Sosial, Sains Kemasyarakatan, dan Sains Tulen seperti sains,
undang-undang, politik, agama, dan etika. Ini kerana falsafah menjadi
epistemologi asas atau sumber ilmu bagi bidang-bidang tersebut. Memahami
prinsip-prinsip falsafah boleh memberikan pemahaman yang lebih mendalam
tentang bidang-bidang ini dan meningkatkan keupayaan anda untuk melibatkan
diri dalam disiplin tersebut.
6. Asas Penaakulan dalam Aspek Etika
Falsafah membantu anda mengemudi dilema-delima moral dan
etika dalam pelbagai bidang dan isu dengan menyediakan alat intelek untuk
membuat penaakulan tentang perkara yang betul dan salah. Ini kerana sebarang
keputusan beretika dan bermoral seperti dalam kehidupan peribadi, perniagaan,
politik dan undang-undang, akan memberikan kesan dan akibat yang amat ketara.
7. Penerokaan Persoalan Asas
Falsafah menangani persoalan asas tentang kewujudan,
pengetahuan, dan makna kehidupan, yang sering dipandang remeh dan tidak
bererti kepada disiplin-disiplin lain. Soalan-soalan seperti “Apakah hakikat alam
realiti?”, “Apakah yang dimaksudkan dengan kehidupan yang baik?", dan
“apakah itu kebahagiaan?” adalah antara persoalan teras kepada aktiviti dan pengalaman
manusia.
8. Perkembangan diri dan Keperibadian dan Kebijaksanaan
Dengan
melibatkan diri dalam perdebatan dan perbincangan idea-idea falsafah, ia
boleh membawa kepada perkembangan peribadi dan tahap kebijaksanaan yang lebih
tinggi. Ia juga membantu anda membangunkan pandang-dunia yang padu dan
menyeluruh, menjelaskan nilai dan sikap anda, dan mampu membuat pilihan yang
lebih bermaklumat dalam kehidupan.
3. Meluaskan Pemahaman melalui Perbezaan
atau Pelbagai Perspektif |
Dengan mengkaji idea-idea ahli falsafah dan aliran
pemikiran yang berbeza, anda mendapat pandangan tentang pelbagai perspektif
mengenai isu asas. Ini memupuk empati, toleransi dan sikap memahami perbezaan
yang lebih halus tentang dunia dan persekitarannya.
|
4. Meningkatkan Kemahiran Berkomunikasi |
Falsafah memerlukan gaya bicara atau pengucapan idea-idea
kompleks yang tepat dan jelas. Ini membantu anda menjadi pembicara yang lebih
berkesan, dalam penulisan dan pertuturan, sambil anda belajar untuk
menyatakan pemikiran yang kompleks dengan cara yang logik, menarik dan meyakinkan
|
5. Ilmu atau Disiplin Asas untuk Disiplin
Pengajian Lain |
Falsafah
adalah ilmu atau disiplin asas kepada banyak disiplin lain, khasnya dalam
bidang Sains Sosial, Sains Kemasyarakatan, dan Sains Tulen seperti sains,
undang-undang, politik, agama, dan etika. Ini kerana falsafah menjadi
epistemologi asas atau sumber ilmu bagi bidang-bidang tersebut. Memahami
prinsip-prinsip falsafah boleh memberikan pemahaman yang lebih mendalam
tentang bidang-bidang ini dan meningkatkan keupayaan anda untuk melibatkan
diri dalam disiplin tersebut.
|
6. Asas Penaakulan dalam Aspek Etika |
Falsafah membantu anda mengemudi dilema-delima moral dan
etika dalam pelbagai bidang dan isu dengan menyediakan alat intelek untuk
membuat penaakulan tentang perkara yang betul dan salah. Ini kerana sebarang
keputusan beretika dan bermoral seperti dalam kehidupan peribadi, perniagaan,
politik dan undang-undang, akan memberikan kesan dan akibat yang amat ketara.
|
7. Penerokaan Persoalan Asas |
Falsafah menangani persoalan asas tentang kewujudan,
pengetahuan, dan makna kehidupan, yang sering dipandang remeh dan tidak
bererti kepada disiplin-disiplin lain. Soalan-soalan seperti “Apakah hakikat alam
realiti?”, “Apakah yang dimaksudkan dengan kehidupan yang baik?", dan
“apakah itu kebahagiaan?” adalah antara persoalan teras kepada aktiviti dan pengalaman
manusia.
|
8. Perkembangan diri dan Keperibadian dan Kebijaksanaan |
Dengan
melibatkan diri dalam perdebatan dan perbincangan idea-idea falsafah, ia
boleh membawa kepada perkembangan peribadi dan tahap kebijaksanaan yang lebih
tinggi. Ia juga membantu anda membangunkan pandang-dunia yang padu dan
menyeluruh, menjelaskan nilai dan sikap anda, dan mampu membuat pilihan yang
lebih bermaklumat dalam kehidupan.
|
9. Boleh Suai dan Penyelesaian Masalah |
Falsafah melatih anda untuk mendekati permasalahan dari
pelbagai sudut, berfikir secara kreatif dan menyesuaikan diri dengan cabaran
baharu. Boleh suai ini sangat bernilai dalam menghadapi dunia yang pesat
berubah.
|
10.Pembelajaran Sepanjang Hayat |
Kemahiran dan tabiat minda yang dibangunkan melalui
pengajian falsafah akan menyumbang kepada pencarian ilmu sepanjang hayat dan
peningkatan diri, menggalakkan usaha berterusan dalam pemahaman dan
kebijaksanaan
|
Inti patinya, mempelajari falsafah akan melengkapkan anda
dengan alat intelektual untuk mengemudi kerumitan kehidupan, membuat keputusan
yang munasabah dan menyumbang dengan penuh bertimbang rasa kepada masyarakat.
Persamaan
dan Perbezaan di antara Falsafah, Agama dan Sains
Secara
ringkasnya, Agama ialah sistem kepercayaan yang diimani, amalan, dan nilai yang
berpusat kepada penyembahan kuasa yang lebih tinggi, selalunya melibatkan
ibadat, garis panduan moral, dan dianuti satu kumpulan komuniti pengikut. Ia
menangani persoalan kewujudan tentang makna kehidupan, sifat ketuhanan, dan
kehidupan akhirat, yang mampu menyediakan rangka kerja untuk memahami alam
semesta dan membimbing tingkah laku beretika. Agama biasanya merangkumi kitab
suci, tradisi ikutan, dan satu rangkaian set kepercayaan dan ajaran yang
diturunkan dari generasi ke generasi, membentuk kehidupan rohani dan moral
penganutnya.
Manakala Sains pula ialah kajian sistematik tentang alam
semula jadi melalui pemerhatian, uji kaji iaitu prosedur saintifik di makmal
untuk menentukan sesuatu, dan analisis, iaitu pemeriksaan terperinci tentang
unsur atau struktur sesuatu. Ia bertujuan untuk memahami bagaimana alam semesta
berfungsi dengan membangunkan teori dan undang-undang bagi menerangkan fenomena
alam. Ilmu Sains berdasarkan bukti empirikal, iaitu proses pembuktian
berdasarkan pemerhatian dan pengalaman yang boleh diukur, di boleh salahkan, diuji
dan disahkan benar.
Jika diteliti dengan lebih mendalam terdapat persamaan dan perbezaan ketara dalam ilmu Falsafah, Agama dan Sains. Yang paling nyata, ketiga-tiga disiplin berkongsi dan bertembung dalam ruang lingkup, isu, aspek dan tema dalam perbincangan dan perdebatan yang sama. Antara perbincangan dan perdebatan tersebut adalah seperti berikut:
1)
Pengaruh Pemikiran, Budaya dan Tamadun
Disiplin falsafah, agama dan sains, disedari atau tidak, sejak berzaman lagi mempengaruhi
Pemikiran, Budaya dan Tamadun Manusia. Disiplin-disiplin tersebut telah
menyumbang kepada pembangunan sistem perundangan, sistem politik, norma etika, pegangan
dan nilai budaya, bahkan dengan penemuan baru dalam sains, manusia telah
memahami dengan lebih baik tentang alam semula jadi, dan membawa kepada
kemajuan sains dan teknologi seperti perkembangan teknologi pembuatan dan
perkhidmatan, media dan komunikasi, dan penciptaan peralatan dan pelbagai kemudahan
baru yang memanfaatkan keselesaan hidup manusia.
2)
Meneroka Persoalan Asas
Ketiga-tiga bidang tersebut cuba meneroka Persoalan Asas. Mereka
berusaha untuk menjawab dengan mendalam persoalan penting mengenai kewujudan,
hakikat realiti atau alam nyata, makna kehidupan, sifat semula jadi nilai baik
dan jahat, tujuan hidup manusia dan hakikat ilmu. Falsafah, agama dan sains
sedaya upaya ingin menjawab soalan-soalan seperti “Apakah sifat semula jadi
realiti?” “Apakah tujuan hidup manusia?”
“Apakah cara hidup yang betul?” dan “apakah erti kebahagiaan?’ dan
apakah hakikat ilmu pengetahuan?”. Pun begitu, pendekatan dalam menjawab
persoalan tersebut akan tampak berbeza-beza di antara satu sama lain. Falsafah sering
meneroka soalan-soalan tersebut dengan cara yang lebih abstrak atau konseptual
melalui pemikiran kritis, manakala sains mendekati persoalan tersebut melalui kajian
empirikal seperti penyelidikan dan eksperimen. Manakala agama akan menumpukan
kepada pemahaman teks, dan analisis kandungan terhadap kitab-kitab suci dalam
cuba menjawab persoalan tersebut.
3)
Fahami Realiti Kewujudan Manusia dan Dunia.
Dari aspek cuba memahami Realiti Kewujudan Manusia di alam ini, falsafah dan agama, di satu pihak, cuba menangani kebimbangan dan kerisauan keberadaan manusia di alam realiti ini seperti hakikat penderitaan dan kesengsaraan, kematian yang tidak dapat dielakkan, konsep jiwa atau diri dalaman, dan wujud kemungkinan kehidupan selepas mati atau alam akhirat. Kedua-duanya sama-sama menyediakan rangka kerja untuk memahami dan menghadapi permasalahan tersebut. Di satu pihak yang lain pula, falsafah dan sains telah berusaha untuk menerangkan dan memahami dunia dan fenomenanya, walaupun pada tahap yang berbeza. Falsafah sering berusaha untuk memahami soalan “mengapa” di sebalik konsep dan idea tersebut seperti mengapa berlakunya bencana alam?, manakala sains cuba pula memahami soalan “bagaimana” di sebalik fenomena alam tersebut, seperti bagaimana berlakunya bencana alam?.
4)
Isu Etika dan Moral
Mengenai isu etika dan moral, falsafah dan agama berusaha
menyediakan rangka kerja untuk memikirkan dan mewujudkan panduan dan bimbingan yang
piawaian tentang etika dan moral untuk diamalkan. Falsafah melakukan usaha ini
melalui perdebatan teori etika, penaakulan dan penghujahan moral, yang
berlandaskan akal dan pengalaman manusia, manakala agama sering memberikan
bimbingan moral melalui teks suci, perintah Ilahi, penguasa agama dan ajaran
agama, manakala sains semakin berusaha mengaplikasikan etika untuk mengawal dan
menangani implikasi dan kesan daripada hasil penemuan mereka, dengan mewujudkan
beberapa panduan dan kawalan etika dan moral dalam bidang bio-etika, sains alam
sekitar, dan kecerdasan buatan.
5)
Kefahaman Kewujudan Luar Biasa dan Ketuhanan
Dalam Isu berkaitan Kefahaman tentang Kewujudan Luar
Biasa (transenden) dan Ketuhanan, falsafah dan agama sering mempersoalkan
tentang aspek hubungan diri manusia dengan alam realiti transenden dan
ketuhanan, sama ada isu ini akan membawa kepada pencarian sesuatu hakikat hidup
atau kewujudan yang lebih tinggi atau pun memahami hakikat ketuhanan. Falsafah
berkemungkinan meneroka konsep transenden dalam bentuk istilah abstrak, manakala
agama melibatkan diri secara langsung dengan idea Ketuhanan yang transenden atau
alam rohani. Oleh kerana itu, Matlamat Utama atau Akhir bagi falsafah adalah mementingkan
pemahaman dan pengetahuan, selalunya tanpa sebarang kaitan dengan keselamatan
peribadi. Manakala agama amat mementingkan persoalan matlamat akhir sesuatu
kehidupan dan kematian, keselamatan, akhirat, dan hubungan antara manusia dan
Tuhan.
6)
Persoalan Metafizik dan Hakikat Realiti
Mengenai Persoalan
Metafizik, yakni kewujudan di luar alam atau ruang fizik, falsafah dan
agama tidak terlepas daripada melakukan spekulasi metafizik, walaupun dalam
cara yang berbeza. Falsafah meneroka persoalan metafizik melalui penaakulan penghujahan
dan pemikiran abstrak, manakala agama sering menangani persoalan ini melalui doktrin,
mitos dan ajaran tentang alam ghaib. Begitu juga persoalan Penerokaan Hakikat
Realiti, falsafah dan sains cuba memahami hakikat realiti tersebut, walaupun
mereka mendekatinya secara berbeza. Falsafah meneroka hakikat realiti melalui
penelitian metafizik, manakala sains menyiasat hakikat realiti tersebut melalui
kajian undang-undang fizikal dan bukti empirikal.
7)
Pembinaan Pandang Dunia dan Teori
Dalam aspek Pembinaan Pandang Dunia dan Teori, falsafah
dan agama masing-masing membantu setiap individu dan masyarakat membentuk Pandang
Dunia yang menyeluruh, supaya manusia mampu memahami kedudukan mereka di alam
semesta ini. Falsafah mencadangkan perspektif dunia yang sekular, yakni
pemisahan di antara urusan dunia dan agama, dan berperspektif rasional berlandas
akal manusia semata-mata. Sedangkan agama menawarkan pandang dunia kerohanian dengan
perspektif berpusatkan ketuhanan dan kehidupan beragama. Berkaitan Pembinaan
Teori, falsafah dan sains membangunkan teori untuk menerangkan fenomena alam
semesta. Dalam falsafah, teori dicipta untuk cuba menangani konsep-konsep
seperti etika, pengetahuan, atau metafizik. Manakala sains, teori dicipta untuk
cuba menerangkan fenomena alam, seperti graviti, evolusi, atau tingkah laku
zarah.
8)
Epistemologi dan Kebenaran
Dalam aspek Pencarian Ilmu atau epistemologi dan
menentukan Kebenaran, ahli falsafah mencari kebenaran melalui akal,
logik, dan analisis kritis, manakala penganut agama sering mencari kebenaran
melalui iman, wahyu dan pengalaman rohani. Kegiatan ini cuba melihat hakikat
sesuatu ilmu dan batasannya dalam proses berterusan mengkaji ilmu pengetahuan, dan
aktiviti ini berlaku kepada ketiga-tiga disiplin tersebut. Dalam aspek menentukan
Kebenaran dalam falsafah dan sains, kedua-dua disiplin ini menggunakan Pendekatan
Sistematik untuk meneroka bidang masing-masing. Falsafah selalunya melibatkan
pemeriksaan metodologi dalam setiap penilaian terhadap konsep dan hujah, berbeza
dengan sains, yang menggunakan kaedah saintifik yang melibatkan pemerhatian,
eksperimen, dan analisis.
9)
Isu Akal, Pemikiran Logik dan Kesahan
Kedua-dua falsafah dan sains menggunakan Akal dan Pemikiran Logik untuk meneroka dan memahami subjek mereka. Dalam falsafah, penaakulan logik adalah penting untuk membina dan menganalisis hujah, manakala dalam sains, penaakulan logik digunakan untuk membentuk hipotesis, mereka bentuk eksperimen, dan mentafsir data. Kedua-dua disiplin ini menggalakkan sikap sering menyoal, meragui sesuatu dan pemikiran kritis. Mereka sentiasa mencabar andaian, menguji idea, dan berusaha untuk meningkatkan pemahaman melalui analisis dan kritikan yang teliti. Akibat sikap sedemikian, kedua-dua bidang falsafah dan sains sentiasa dinamik, kerana idea baharu berkembang dari semasa ke semasa. Bukti atau hujah baharu boleh membawa kepada penyemakan atau penolakan teori atau kepercayaan terdahulu. Kedua-dua disiplin terbuka untuk berubah apabila pandangan baharu diperoleh. Pun begitu agama selalunya kurang fleksibel, kerana doktrin dan ajaran agama dilihat sebagai suci dan tidak berubah, dan seharusnya mempertahankan keaslian dan ketulenan kepada tradisi asal atau lama. Walaupun sesetengah agama membenarkan tafsiran dan pembaharuan, kepercayaan teras atau usul dan pokok biasanya perlu dipelihara. Dalam falsafah dan sains, konsep objektiviti atau betul-salah, yang bermaksud kesahan dan kebolehpercayaan, perlu dilakukan untuk menolak nilai palsu, falasi dan tidak sah. Sains mencari objektiviti melalui bukti empirikal dan keboleh-ulangan hasil, manakala objektiviti dalam falsafah diperoleh melalui berkekalan atau konsistensi logik dan penghujahan yang kukuh.
10)
Pengaruh Antara
Disiplin
Dalam aspek Pengaruh Antara Disiplin, dalam zaman yang penuh
keterbukaan dan saling berhubung dan bertembung di antara satu sama lain, bidang
falsafah, agama dan sains telah saling mempengaruhi antara satu sama lain, dan
sering bertindih dalam bidang tertentu. Sebagai contoh dalam falsafah dan sains,
falsafah sains mengkaji asas, kaedah, dan implikasi sains, manakala penemuan
saintifik boleh menambahbaikkan perbincangan perdebatan dalam falsafah tentang
realiti, kesedaran manusia, dan etika. Dalam falsafah dan agama, pengaruh dan
pertembungan antara satu sama lain ini, telah melahirkan ramai pemikir agama
yang menggunakan penaakulan falsafah untuk menjelaskan atau mempertahankan
kepercayaan mereka. Contohnya wujudnya bidang falsafah agama yang melahirkan
tokoh-tokoh teologi seperti Thomas Aquinas dalam Kristian, Maimonides
dalam Judaisme, Avicenna atau Ibn Sina dalam Islam.
Sebaliknya, konsep agama telah melazimkan bentuk forum dan wacana perbincangan dan
perdebatan falsafah tentang akhlak, sifat kewujudan, dan makna kehidupan.
Ringkasnya,
walaupun falsafah dan agama berbeza dalam kaedah dan pendekatan mereka,
kedua-duanya masih berkongsi persamaan dalam penerokaan persoalan asas,
pengaruhnya terhadap pemikiran manusia, dan peranan mereka dalam menyediakan
bimbingan etika dan moral. Kedua-dua disiplin ini menyumbang kepada pembentukan
pandang dunia, memahami keadaan manusia, dan mencari kebenaran, walaupun dengan
cara yang berbeza. Untuk falsafah dan sains pula, kedua-duanya berkongsi
matlamat yang sama dalam usaha mereka untuk mencari dan memahami ilmu
pengetahuan dan hakikat alam realiti. Kedua-duanya menggunakan penaakulan,
pemikiran kritis, dan pendekatan sistematik untuk meneroka persoalan asas
tentang alam semesta. Walaupun kaedah dan bidang tumpuan mereka berbeza,
persamaan mereka menyerlahkan peranan pelengkap mereka dalam memajukan
pengetahuan manusia, menyumbang kepada pemahaman kita tentang dunia dan
keselesaan dalam kehidupan manusia.
NOTA AKHIR
[1] Philosophy - Wikipedia: (online
10 Sept. 2024) https://en.wikipedia.org/wiki/Philosophy
[2]
Anthony Quinton (1995). "The ethics of
philosophical practice". Dalam T. Honderich, ed. The
Oxford Companion to Philosophy. Oxford University
Press. p. 666.
[3] Jenny Teichmann and Katherine C. Evans, Philosophy: A Beginner's Guide (Blackwell Publishing, 1999), p. 1
[4]
Philosophy. (n.d.). Collins English Dictionary - Complete &
Unabridged 10th Edition. Atas talian February 26, 2016 dari Dictionary.com
website http://dictionary.reference.com/browse/philosophy
[5] Kessler, Gary E. 1992. Voices of Wisdom: A Multicultural Philosophy
Reader. California: Wadsworth Publishing Company, p. 7.
[6] Philosophy
| Definition, Systems, Fields, Schools, & Biographies | Britannica:
(atas talian 13 Ogos 2024) https://www.britannica.com/topic/philosophy
[7] English Wikipedia
Organization. ‘Philosophy’ (atas talian 26 Feb 2016). https://en.wikipedia.org/wiki/Philosophy#cite_ref-tufts1_4-0.
[8]
The University of British Colombia. Why study philosophy. Atas talian 26
February, 2016 dari http://philosophy.ubc.ca/undergraduate/why-study-philosophy/
[9] University of
Western Australia. School of Humanities.
Reasons to study philosophy. Atas talian 26 February, 2016 dari http://www.humanities.uwa.edu.au/home/philosophy/reasons-to-study-philosophy
TERJEMAHAN / ALIH BAHASA PERKATAAN MELAYU - ENGLISH
No comments:
Post a Comment