Tuesday, 7 March 2023

TAJUK: Konsep SOUL (self/jiwa) dan Konsep PERSONALITY (Keperibadian) menurut Fahaman Semasa, dengan Konsep NAFS (النَفْسُ) (Jiwa/Diri/Peribadi) menurut al-Qur’an: Satu Penelitian Perbandingan.

  

DR.MKM: THE WAY I SEE IT

Abstrak: Analisis Kritikal terhadap Teori dan Konsep Semasa Dibandingkan dengan Kefahaman Islam dan Al-Quran mengenai Isu-Isu Falsafah, Sosial, Psikologi dan Pembangunan Kerohanian Manusia.

 

    

TAJUK: Konsep SOUL (self/jiwa) dan Konsep PERSONALITY (Keperibadian) menurut Fahaman Semasa, dengan Konsep NAFS (النَفْسُ) (Jiwa/Diri/Peribadi) menurut al-Qur’an: Satu Penelitian Perbandingan.

oleh Dr. Mostafa Kamal Mokhtar (Ph.D)

 



DR.MKM: THE WAY I SEE IT

Abstrak: Analisis kritikal terhadap Teori dan Konsep Semasa dibandingkan dengan Kefahaman Islam dan Al-Quran mengenai isu-isu falsafah, sosial, psikologi dan pembangunan kerohanian manusia.

Penulis (Author):  Dr. Mostafa Kamal Mokhtar (Ph.D)[1]

Sarjanamuda Pengajian Islam (Kepujian)/Bachelor of Islamic Study (Honours), Univeristi Kebangsaan Malaysia, Bangi.

Sarjana Sastera (Falsafah Agama)/Master of Art (Philosophy of Religion), University of Birmingham, United Kingdom.

Doktor Falsafah Ilmu Wahyu dan Kemanusian (Teologi dan Pembangunan Spiritual Manusia/Doctor of Philosophy in Revealed Knowledge and Human Sciences (Theology and Human Spiritual Development). Islamic International University of Malaysia, Gombak.

Mantan Pensyarah Fakulti Sains Pembangunan dan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM.

ISI KANDUNGAN

TAJUK: Konsep SOUL (self/jiwa) dan Konsep PERSONALITY (keperibadian) menurut Fahaman Semasa, dan Konsep NAFS (النَفْسُ) (Jiwa/Diri/Peribadi) menurut al-Qur’an: Satu Penelitian Perbandingan. 4

Perkata penelitian perbandingan. 4

Konsep SOUL (self) menurut Fahaman Semasa. 4

Bagaimana menilai manusia dan tingkah lakunya?. 6

Psikologi Personaliti (Personality Psychology) 6

Definisi Umum bagi Asas Karektor/Ciri Personaliti (fundamental characteristics of personality) 7

Teori Asas dalam Psikologi Keperibadian (Personality Psychology) 8

Teori Tingkah Laku (Behavioral Theories) 8

Teori Humanistik (Humanistic) 9

Teori Psikodinamik (psychodynamic) 10

Teori Biologi (Biological Theories) 11

Teori Sifat (Trait Theory) 12

Kepentingan Kajian Pesonaliti (Impact of Personality Study) 13

Gangguan Personaliti (personality disorder) Boleh Mempengaruhi Kesihatan Fizikal dan Mental manusia 13

Etimologi Terma Nafs (النَفْسُ) dalam al-Qur’an. 14

Definisi Nafs (النَفْسُ) dalam al-Qur’an. 15

Kronologi Kejadian Manusia dalam Konsep Nafs (النَفْسُ) ketika Alam Sebelum Dunia (Pre-worldly life) 16

Peristiwa ‘Dialog Ruh-Tuhan’ dalam Kronologi Kejadian Manusia dalam Kehidupan Dunia Pra-Natal (prenatal worldly life) 19

Nafs (النَفْسُ) bermaksud Diri Dalaman (psyche) atau Keperibadian (personality) 22

Nafs Ammarah (النَفْسُ الأمَّارَةُ) 23

Nafs al-Lawwamah (النَّفْسُ اللَّوَّامَةُ) 24

Nafs al-Mutma’inah (النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ) 25

RUJUKAN.. 27

ENDNOTE.. 28

 


 

TAJUK: Konsep SOUL (self/jiwa) dan Konsep PERSONALITY (keperibadian) menurut Fahaman Semasa, dan Konsep NAFS (النَفْسُ) (Jiwa/Diri/Peribadi) menurut al-Qur’an: Satu Penelitian Perbandingan

Perkata penelitian perbandingan

Dalam penulisan ini. Dimulakan perbincangan mengenai makna dan konsep soul dan personality yang difahami dalam fahaman semasa, khasnya dalam Tradisi Ilmu Barat. Selepas perbincangan kedua-duanya, jika diteliti di dalam al-Qur’an, terdapat satu perkataan yang disebut NAFS (النَفْسُ), yang jika dikaji secara mendalam akan memberikan makna dan konsep yang hampir sama walaupun tidak identikal/setara, yang akan dibincangkan mengikut pendekatan perbandingan.

Konsep SOUL (self) menurut Fahaman Semasa

Dari segi etimologi,[2] perkataan SOUL dirakam pada tahun sebelum 900, daripada Bahasa Inggeris abad pertengahan - Sāwl, daripada Bahasa Inggeris kuno - sāwol. Sinonim bahasa bagi perkataan SOUL adalah spirit (ruh), heart (hati), essence (intipati), core (teras).

Perkataan SOUL (Jiwa) membawa banyak makna, tetapi yang berkaitan dengan perbincangan ini, ia membawa maksud, di antaranya: a) HAKIKAT HIDUP (animating principle) bagi sesuatu kehidupan, perasaan, pemikiran, dan tindakan setiap manusia, yang dianggap sebagai entiti yang berbeza dan terpisah dari tubuh, dan biasanya dianggap boleh wujud secara terpisah dari badan; bahagian kerohanian manusia yang berbeza dari bahagian fizikal; b) JIWA (juzuk kerohanian) bagi manusia dari aspek moral, atau yang dipercayai mampu hidup selepas manusia mati, dan mampu merasai kebahagiaan atau penderitaan dalam kehidupan selepas mati (life after death); c) ROH (disembodied spirit) bagi orang yang telah mati; d) EMOSI manusia, sumber sesuatu perasaan atau sentiment; e) MANUSIA (man/human being); e) (Ditulis dengan huruf besar S - Soul) dalam agama Kristian, bermakna, TUHAN (God); Sumber Ilahi bagi semua identiti (identity) dan keperibadian (individuality).

Dalam penulisan sebelum ini, telah dibincangkan makna dan konsep SPIRIT, PSYCHE dan SOUL. Mengimbau kembali makna perkataan SPIRIT (ruh), PSYCHE (psiki) dan SOUL (jiwa), ketiga-tiga perkataan tersebut boleh ditukarganti (exchangeable) penggunaannya. Contohnya dalam tulisan, “manusia mempunyai SOUL, maka dengannya manusia mempunyai kehidupan”. Dalam ayat ini, perkataan SOUL, boleh ditukarkan dengan tepat dan jelas dengan perkataan SPIRIT dan PSYCHE, tanpa mengubah makna sebenar yang ingin di sampaikan dalam ayat tersebut. Ini kerana ketiga perkataan tersebut saling berkongsi elemen/ciri berikut, iaitu: a) ‘hakikat hidup’ (animating principle), iaitu yang menghidupkan sesuatu atau ‘sumber’ kehidupan; b) ‘suatu kewujudan tanpa  jasad/badan’ (incorporeal) atau ghaib yang tidak mampu dicapai oleh pancaindera manusia; c) Kadang-kadang boleh wujud bergabung dengan jasad/badan (body), dan masih kekal wujud setelah terpisah dari badan atau selepas mati; d) Entiti yang terkait rapat dengan Tuhan/ketuhanan (divine); e) Sumber bagi perasaan/emosi

Pun begitu, perkataan SOUL tidak boleh digunakan dalam ayat, “Tuhan telah meniupkan SPIRIT atau PSYCHE ke dalam jasad manusia.” Ini kerana perkataan SOUL tidak memiliki elemen ‘ditiup’, ‘dihembus’ dan ‘diberi-nafas’. Hanya perkataan SPIRIT/PSYCHE memiliki elemen ‘tiup/hembus/beri-nafas’, dan tidak pada SOUL. Oleh sebab itu, SPIRIT/PSYCHE dianggap punca atau sumber bagi akal/minda yang melahirkan kesedaran (consciousness) terhadap dirinya dan alam sekelilingnya.

Berkaitan dengan perbincangan tentang kesedaran (consciousness), dalam istilah perubatan kecemasan (medical emergency), KOMA adalah keadaan tidak sedarkan diri (unconsciousness) yang berpanjangan yang disebabkan oleh pelbagai masalah seperti trauma kecederaan kepala, strok, tumor otak, pengaruh dadah atau alkohol, atau bahkan boleh diakibat oleh penyakit lain yang menjadi punca kepada KOMA seperti diabetes atau jangkitan kuman. Persoalannya, mungkinkah orang yang berada di dalam keadaan KOMA, yang sudah kehilangan ‘kesedaran’ (consciousness) terhadap alam persekitarannya, dianggap sudah kehilangan ‘SPIRIT/PSYCHE’ nya? Kajian mendalam yang bersifat multi disiplin, khasnya dalam bidang sains perubatan dan agama, perlu dilakukan dengan serius bagi memahami hakikat sebenar tentang keadaan manusia KOMA!

Perkataan SPIRIT/PSYCHE, tidak pada SOUL, juga digunakan untuk membawa makna kejadian lain, selain manusia, yang wujud secara tanpa jasad/badan (incorporeal) seperti Jin dan Malaikat.

Berbalik kepada perkataan SOUL, ‘hanya’ SOUL sahaja SINONIM bagi perkataan MANUSIA (man, human being) yang kewujudannya adalah gabungan di antara jasad dan rohani. Sinonim ini ‘tidak sesuai digunakan’ (non-applicable) oleh perkataan SPIRIT dan PSYCHE. Itulah perbezaan ketara di antara perkataan SPIRIT/PSYCHE dengan perkataan SOUL.

Bagaimana menilai manusia dan tingkah lakunya?

Umumnya, manusia dan tingkah lakunya sering dinilai dan dihakimi (judgmental) dengan pelbagai penilaian dan penghakiman. Dalam falsafah moral (moral philosophy),[3] misalnya, tingkah laku manusia dinilai dari segi etika, akhlaq dan moral mereka. Tubuh badan dan penampilan Manusia juga sering dinilai dari segi kecantikan, keindahan kejelekan dan keburukan, seperti yang dilakukan oleh bidang falsafah estatika (aesthetics).[4]

Psikologi Personaliti (Personality Psychology)

Penilaian terhadap manusia dan tingkah lakunya juga dilakukan oleh bidang Psikologi. Contohnya, psikologi personaliti (personality psychology) [5] memberi tumpuan kepada kajian pola atau corak (pattern) pemikiran, perasaan, dan tingkah laku yang menjadikan setiap individu itu unik dan berbeza dari yang lain. Pakar psikologi personaliti mungkin melihat bagaimana faktor yang berbeza, seperti genetik, keibubapaan, dan pengalaman sosial, mampu mempengaruhi perkembangan dan perubahan personaliti. Mereka juga mungkin terlibat dalam penciptaan atau pentadbiran ujian personaliti (personality test).[6]

Dalam psikologi personaliti, menurut Kendra Cherry,[7] perwatakan dan penampilan diri manusia boleh dinilai melalui konsep KEPERIBADIAN (personality) yang menggambarkan satu corak unik (unique patterns) terhadap pemikiran (thought), perasaan (feeling), dan tingkah laku (behavior) seseorang, yang membezakan seorang individu itu dengan yang lain. Pembentukan personaliti (personality) terhasil (by product) daripada kesan biologi (baca: genetic), peranan persekitaran dan pengalaman (experience) seseorang, dan ia bersifat kekal dan berterusan (consistent) sepanjang hayatnya. Contoh personaliti boleh didapati dalam cara manusia menggambarkan sifat/tret (trait) orang lain. Contohnya, “Dia pemurah (generous), penyayang (caring) dan serba sempurna (perfectionist),” atau “Mereka setia (loyal) dan melindungi (protective) rakan mereka.” Jadi komponen penting personaliti adalah sifat (trait) atau perangai yang wujud di dalam diri seseorang yang menggambarkan identitinya (identity) yang sebenar.

Perkataan ‘personaliti’ berasal daripada perkataan Latin persona, yang merujuk kepada topeng panggung (theatrical mask) yang dipakai oleh penghibur (performer) untuk memainkan peranan atau menyamarkan identiti mereka. Walaupun terdapat banyak definisi personaliti, hampir kesemuanya tertumpu kepada corak dan ciri tingkah laku (the pattern of behaviors and characteristics) seseorang yang boleh membantu untuk meramalkan (predict) dan menerangkan (explain) tingkah laku seseorang. Walaupun begitu personaliti ini amat berkait rapat dengan sifat luaran (external trait) dan pandangan awam (public opinion) terhadap diri seseorang, yang kadang-kadang boleh menggambarkan kejiwaan (soul) dan keadaan mental (mental event) seseorang secara dalamannya.

Definisi Umum bagi Asas Karektor/Ciri Personaliti (fundamental characteristics of personality) [8]

Terdapat beberapa Asas Ciri/Karektor Keperibadian yang berlandaskan sifat/tret (trait) dan corak (pattern) pemikiran, emosi dan tingkahlaku seseorang. Ia harus merangkumi elemen-elemen berikut: a) KETEKALAN atau berterusan (consistency); secara umumnya terdapat susunan (order) dan keteraturan (regularity) yang boleh dikenali pada setiap tingkah laku manusia. Ini kerana terdapatnya corak dan sifat yang sama atau serupa dalam tindakan seseorang dalam pelbagai situasi; b) Personaliti adalah   PEMBINAAN PSIKOLOGI (psychological construct), pun begitu, kajian terkini menunjukkan bahawa ia juga dipengaruhi oleh proses dan keperluan biologi (biological processes and needs); c) Personaliti bukan sahaja PENGARUH yang mempengaruhi cara kita bergerak dan bertindak balas dengan persekitaran kita, tetapi ia juga PENYEBAB yang menyebabkan seseorang bertindak dengan cara atau corak tertentu sahaja, seolah-olah tiada pilihan lain untuk bertindak; d) PETUNJUK kepada semua aspek pengukapan (multiple expression) dalam tindakan (behavior), pemikiran (thought), perasaan (feeling), perhubungan rapat (close relationship) dan interaksi sosial yang lain.

Teori Asas dalam Psikologi Keperibadian (Personality Psychology) [9]

Psikologi Personaliti adalah sub-bidang kepada disiplin Psikologi. Oleh sebab itu, teori utama dalam psikologi personaliti sudah tentu akan berlandaskan kepada Teori Asas dalam disiplin Psikologi secara umumnya.

Teori-teori dalam psikologi[10]  pula bermaksud idea berasaskan fakta (fact-based ideas) yang menggambarkan fenomena tingkah laku manusia. Teori-teori ini adalah berdasarkan hipotesis (hypothesis), yang disokong oleh bukti (evidence). Oleh itu, dua komponen utama teori psikologi: a) teori itu mesti menggambarkan tingkah laku manusa; b) teori itu mesti membuat ramalan tentang tingkah laku masa hadapan seseorang.

Psikologi personaliti menumpukan kepada beberapa teori psikologi terkenal oleh beberapa pemikir termasyhur termasuk Sigmund Freud dan Erik Erikson. Sebahagian teori psikologi cuba menangani masalah dalam bidang personaliti tertentu, manakala teori yang lain cuba menjelaskan personaliti secara umum sahaja. Teori-teori psikologi yang berkaitan dengan psikologi personaliti adalah seperti berikut:

Teori Tingkah Laku (Behavioral Theories)

Teori Tingkah Laku, juga dikenali sebagai Behaviorisme, adalah teori pembelajaran yang berpendapat bahawa semua tingkah laku manusia diperoleh melalui pelaziman (conditioning). Dianjurkan oleh ahli psikologi terkenal seperti John B. Watson (1878-1958) dan B. F. Skinner (1904-1990), teori tingkah laku menguasai disiplin psikologi pada separuh awal abad kedua puluh. Sehingga kini, teknik tingkah laku (behavioral techniques) masih digunakan secara meluas oleh ahli terapi untuk membantu klien mempelajari kemahiran dan tingkah laku baharu.

Dalam teori psikologi personaliti, teori tingkah laku mencadangkan bahawa personaliti adalah hasil daripada interaksi antara individu dan persekitarannya. Ahli teori tingkah laku mengkaji tingkah laku yang boleh diperhatikan dan boleh diukur, menolak teori yang menyatakan bahawa pemikiran, citarasa (mood) dan perasaan (feeling) memberikan kesan kepada tingkahlaku manusia kerana elemen dalaman tersebut tidak boleh diperhatikan dan diukur. Menurut ahli teori tingkah laku, pelaziman, iaitu tindak balas tingkah laku yang boleh diramal, sebenarnya berlaku melalui interaksi individu dengan persekitarannya, yang akhirnya membentuk personaliti seseorang.

Di antara yang terkenal, B. F. Skinner (1904-1990), seorang ahli tingkah laku, yang melalui penyelidikannya, telah mencadangkan pelaziman operan (operant conditioning) dan jadual peneguhan (schedules of reinforcement), dalam pembentukan pesonaliti seseorang. Jadual peneguhan tersebut, mempengaruhi seberapa cepat tingkah laku diperoleh dan kekuatan tindak balas. Jadual yang diterangkan oleh Skinner itu ialah jadual nisbah tetap (fixed-ratio), jadual pembolehubah tetap (fixed-variable), jadual nisbah pembolehubah (variable-ratio) dan jadual selang berubah (variable-interval).

Teori Humanistik (Humanistic)

Teori psikologi humanistik mula dipopulari pada tahun 1950-an, yang dipeluporkan, di antaranya, oleh Carl Rogers (1902 –1987) dan Abraham Maslow (1908-1970). Walaupun teori-teori terdahulu, seperti psikoanalisis, sering memfokuskan kepada tingkah laku manusia yang tidak normal (abnormal) dan bermasalah dalam psikologi, teori humanis ini, sebaliknya lebih menekankan kepada asas kebaikan (basic goodness) dalam diri manusia.

Teori humanistik menekankan kepentingan kehendak bebas (free will) dan pengalaman individu (personal experience) dalam pembangunan personaliti. Ahli teori humanis mempromosikan konsep pencerahan diri (self-actualization), yang merupakan keperluan semula jadi (innate need), dalam pertumbuhan peribadi, dan cara bagaimana pertumbuhan peribadi tersebut mendorong untuk bertindak atau bertingkah laku.

Di antaranya, Abraham Maslow (1908-1970), seorang ahli psikologi humanis, telah membangunkan hierarki keperluan (hierarchy of needs) yang dikenali ramai. Keperluan berhierarki tersebut adalah keperluan fisiologi (physiology), keperluan keamanan (safety) dan keselamatan (security), keperluan cinta (love) dan kasih sayang (affection), keperluan harga diri (self-esteem) dan keperluan merealisasikan atau pencerahan diri (self-actualization).

Manakala Carl Rogers (1902-1987) juga ahli psikologi humanis, percaya bahawa semua orang mempunyai kecenderungan aktualisasi (actualizing tendency) - dorongan untuk memenuhi potensi individu yang memotivasikan tingkah laku. Rogers mengelarkan individu tersebut sebagai seseorang yang sihat berfungsi sepenuhnya (fully functioning), dengan menggambarkan individu tersebut akan sentiasa terbuka untuk mengalami (experience), hidup (live) pada masa ini, mempercayai (trust) pertimbangan mereka sendiri, berasa bebas (feel free) dan kreatif (creative).

Teori Psikodinamik (psychodynamic)

Teori psikodinamik mengkaji minda tidak sedar (unconscious mind) yang membentuk emosi (emotion), sikap (attitude), dan personaliti seseorang. Pendekatan psikodinamik berusaha untuk memahami punca tingkah laku tidak sedar (unconscious behaviour). Teori-teori ini dipelupori Sigmund Freud (1856-1939), Erik Erikson (1902-1994) dan pengikut mereka.

Dalam teori personaliti, Teori Psikodinamik yang dipengaruhi oleh karya Sigmund Freud, telah menekankan pentingnya pengaruh minda bawah sedar (unconscious mind) dan pengalaman zaman kanak-kanak dalam pembentukan personaliti seseorang. Teori psikodinamik tersebut merangkumi teori peringkat psikoseksual Freud (Freud's psychosexual stage theory) dan teori peringkat perkembangan psikososial Erikson (Erikson's stages of psychosocial development).

Freud percaya tiga komponen personaliti adalah ID, EGO, dan SUPEREGO. ID bertanggungjawab mewujudkan keperluan (need) dan desakan (urge), manakala SUPEREGO mengawal cita-cita (ideals) dan moral. EGO pula mengimbangkan di antara tuntutan id, superego dan alam realiti (reality). Freud mencadangkan bahawa kanak-kanak akan berkembang melalui beberapa siri dalam beberapa peringkat, yang menggambarkan tenaga ID (id’s energy), sentiasa bergerak mengikut bahagian ransangan seksual yang berbeza-beza mengikut zon erogennya (erogenous zones).

Erik Erikson pula merupakan ahli psikologi EGO yang telah dilatih oleh Anna Freud (1895–1982). Teori psikososialnya menerangkan bagaimana keperibadian berkembang sepanjang hayat. Erikson mempercayai bahawa personaliti berkembang melalui lapan peringkat, dengan konflik tertentu yang timbul pada setiap peringkat. Kejayaan dalam peringkat tertentu akan bergantung kepada kejayaan dalam mengatasi konflik tersebut. Seperti juga Freud, beberapa aspek teori Erikson dianggap ketinggalan zaman oleh penyelidik kontemporari, tetapi teori perkembangan lapan peringkatnya tetap popular dan berpengaruh.

Teori Biologi (Biological Theories) [11]

Teori Biologi dalam psikologi mengaitkan emosi dan tingkah laku manusia berpunca daripada biologi. Sebagai contoh, dalam perbahasan di antara peranan alam semulajadi (nature) dan asuhan (nuture), perspektif biologi akan memilih alam semulajadi lebih berperanan dalam pembentukan tingkah laku manusia. Teori biologi berakar umbi daripada idea Charles Darwin (1809 – 1882), yang terkenal dengan teori evolusi (evolution) dan peranan genetik (genetic) dalam psikologi. Pendekatan biologi ini mencadangkan bahawa genetik bertanggungjawab terhadap pembentukan personaliti manusia.

Penyelidikan tentang kebolehwarisan (heritability) mencadangkan bahawa terdapat hubungan antara genetik dengan tret/sifat personaliti. Kajian terhadap manusia kembar (twin) sering digunakan untuk mengkaji tret yang mungkin dikaitkan dengan genetik berbanding sifat yang mungkin dikaitkan dengan pembolehubah persekitaran. Sebagai contoh, penyelidik mungkin melihat perbezaan dan persamaan dalam personaliti kembar yang dibesarkan secara bersama-sama, dan dibandingkan dengan personaliti kembar yang dibesarkan secara berasingan.

Salah seorang ahli teori biologi yang terkenal ialah Hans Jürgen Eysenck (1916 - 1997), yang mengaitkan aspek personaliti dengan proses biologi. Eysenck berhujah bahawa personaliti dipengaruhi oleh hormon stres kortisol (stress hormone cortisal), ‘umpama ubat penenang’. Menurut teorinya, introvert (pemalu dan pendiam) mempunyai rangsangan kortikal (cortical arousal) yang tinggi dan akan mengelakkan sebarang rangsangan (stimulation), manakala ekstrovert (suka bergaul dan meluahkan secara terang-terangan) mempunyai rangsangan kortikal yang rendah dan sentiasa mencari rangsangan.

Teori Sifat (Trait Theory) [12]

Pendekatan Teori Sifat/Tret adalah salah satu bidang yang paling menonjol dalam psikologi personaliti. Menurut teori ini, personaliti terdiri daripada beberapa sifat yang luas. Tret adalah ciri/karektor yang agak stabil yang menyebabkan seseorang individu berkelakuan dengan cara tertentu. Ia pada asasnya umpama ‘cetakan biru’ (blue print) psikologi, yang menjelmakan corak tingkah laku seseorang. Terdapat beberapa teori sifat yang paling terkenal termasuk Teori Tiga Dimensi Eysenck (Eysenck’s three-dimension) dan Teori Personaliti Lima Factor (five-factor personality theory).[13]

Eysenck menggunakan soal selidik personaliti untuk mengumpul data daripada peserta dan kemudian menggunakan teknik statistik yang dikenali sebagai Analisis Faktor (factor analysis) untuk menganalisis keputusan. Eysenck membuat kesimpulan bahawa terdapat tiga dimensi utama personaliti, iaitu: ekstroversi (extroversion), neurotikisme (neuroticism), dan psikotik (psychoticism). Eysenck percaya bahawa dimensi ini kemudiannya bergabung dengan cara yang berbeza untuk membentuk personaliti unik individu. Kemudian, Eysenck menambahkan dalam dimensi ketiga, iaitu: psikotik, dengan mengaitkan perkara-perkara seperti pencerobohan (aggression), empati (empathy), dan mampu-bergaul (sociability).

Pengkaji kemudiannya mencadangkan bahawa terdapat lima dimensi umum yang membentuk keperibadian seseorang, yang sering disebut sebagai Teori Lima Personaliti Utama (the Big 5 theory of personality).[14] Teori Lima Personaliti Utama mencadangkan bahawa semua personaliti boleh dicirikan/dikarektorkan kepada lima dimensi personaliti utama, iaitu: keterbukaan (openness), ketelitian (conscientiousness), ekstroversi (extroversion/extraversion), persetujuan (agreeableness), dan neurotic (neuroticism), secara kolektif dirujuk dengan akronim OCEAN.

Kepentingan Kajian Pesonaliti (Impact of Personality Study) [15]

Penyelidikan tentang personaliti boleh menghasilkan pandangan yang menarik tentang cara personaliti berkembang dan berubah sepanjang hayat. Penyelidikan ini juga boleh mempunyai aplikasi praktikal yang penting dalam dunia sebenar. Contohnya, kita boleh menggunakan penilaian personaliti/keperibadian, yang dipanggil ujian atau kuiz personaliti (personality test or quiz), untuk mengetahui lebih lanjut tentang diri seseorang, dan juga melihat kekuatan, kelemahan dan keutamaan mereka yang sememangnya unik. Sebahagian penilaian mungkin melihat pada tahap kedudukan sifat tertentu seseorang, seperti sama ada mereka memiliki sifat ekstroversi, teliti atau keterbukaan yang tinggi.

Penilaian yang lain pula mungkin mengukur bagaimana aspek personaliti tertentu berubah dari semasa ke semasa. Sesetengah penilaian memberikan cerapan (insight) tentang cara personaliti mereka mempengaruhi bidang-bidang kehidupan mereka, termasuk kerjaya, perhubungan, pertumbuhan peribadi dan seumpamanya.

Memahami jenis keperibadian juga penting, kerana ia membantu dalam menentukan kerjaya yang mungkin anda minati, dan melihat sejauh mana prestasi anda berperanan dalam sesuatu pekerjaan tertentu, atau sejauhmana keberkesanan program psikoterapi (psychotherapy) yang anda jalani. Jenis personaliti (personality type) juga boleh memberi kesan kepada kesihatan anda, termasuk kekerapan anda melawat doktor dan cara anda menghadapi tekanan (stress). Penyelidikan mengenai jenis personaliti telah mendapati bahawa ciri-ciri personaliti tertentu, mungkin boleh juga dikaitkan dengan penyakit dan kesihatan tingkah laku tertentu.

Gangguan Personaliti (personality disorder) Boleh Mempengaruhi Kesihatan Fizikal dan Mental manusia [16]

Walaupun personaliti menentukan apa yang anda fikirkan dan cara anda berkelakuan, terdapat juga gangguan personaliti (personality disorder) yang ditandai dengan pemikiran dan tingkah laku yang mengganggu (disruptive) dan menyusahkan (distressing) dalam kehidupan seharian anda. Seseorang yang mengalami gangguan personaliti mungkin menghadapi masalah untuk mengenali keadaan gangguan tersebut kerana gejala (symptom) tersebut sudah sebati dalam personaliti mereka. Gangguan personaliti tersebut termasuk gangguan personaliti paranoid, skizoid (schizoid), antisosial (antisocial), gangguan personaliti sempadan (borderline personality disorder/BPD), dan gangguan personaliti narsis (narcissistic personality disorder/NPD).[17]

Walaupun gejala gangguan personaliti (symptoms of personality disorders) berbeza-beza berdasarkan keadaan dan tempat, pun begitu kita boleh mengenalinya dengan beberapa tanda biasa seperti; Tingkah Laku Agresif (aggressive behavior), Pemikiran Delusi (delusional thinking), Ketidakpercayaan terhadap orang lain (distrust of others), Emosi Mendatar  atau tiada julat emosi (flat emotions), Kurang Minat dalam perhubungan (lack of interest in relationship) dan Melanggar Sempadan orang lain (violating other’s boundaries). Bagi sesetengah orang yang mengalami BPD pula, mereka boleh terjebak dalam pengalaman ingin membunuh diri secara pemikiran atau tindakan.

Etimologi Terma Nafs (النَفْسُ) dalam al-Qur’an

Dalam Tradisi Ilmu Islam, النَفْسُ (Jiwa)[18] adalah perkataan yang hampir seerti daripada segi takrifan (definition) dan konsep dengan perkataan soul dan personality dalam Tradisi Ilmu Barat. Perkataan النَفْسُ berasal daripada tiga huruf Nun-Fa’-Shin (ن-ف-س) yang disebut sebanyak 298 kali dalam al-Qur’an. Asal tiga huruf tersebut telah menerbitkan beberapa perkataan dan makna yang lain seperti berikut: a) Sekali (1) dalam bentuk kata kerja (تَفَعَّلَ) (تَنَفَّسَ) (form V verb) bermaksud ‘bernafas’ (breath) dalam ayat al-Takwir (81:18), berbunyi, (وَالصُّبْحِ إِذَا تَنَفَّسَ), yang bermaksud, “dan waktu subuh (siang), apabila ia bernafas (mulai terang)”;[19] b) Sekali (1) dalam bentuk kata kerja (يَتَفَاعَلُ) (يَتَنَافَسُ) (form VI verb) bermaksud ‘bercita-cita/berlumba-lumba’ (aspire/compete) dalam ayat al-mutaffifin (83:26); c) Sekali (1) dalam bentuk kata nama pembuat (اسم الفاعل) (مُتَنَافِسُوْنَ) (form VI active participle) bermaksud ‘para pencita/pelumba-lumba’ (the aspirers/competitors) seperti yang terdapat dalam ayat al-mutaffifin (83:26), yang bermaksud, “pengakhirnya [dimeterai dengan] kasturi. Jadi untuk itu, biarkanlah bercita-cita/berlumba-lumba oleh si pencinta/pelumba [merebut kelebihan dan kesenangan]”; [20] d) Sebanyak 295 kali dalam bentuk kata nama (أسم) (النَفْسُ) dalam al-Qur’an yang membawa makna diri (self), jiwa (soul), orang (person), manusia (man) dan nyawa (life).

Menarik sekali, dalam al-Qur’an, perkataan الرُوْحُ (ruh) yang dimaksudkan  dengan ‘manusia’ disebut sebanyak empat (4) kali daripada 21 kali dalam al-Qur’an, sedangkan perkataan النَفْسُ yang membawa maksud ‘manusia’ disebut sebanyak 295 kali, kenapa begitu? Mungkinkah ini bermaksud bahawa manusia perlu memikirkan lebih banyak mengenai النَفْسُ melebihi الرُوْحُ, kerana النَفْسُ mempunyai hubungan yang amat rapat dengan kita, jika dibandingkan dengan perihal الرُوْحُ yang urusannya adalah di tangan Allah {s.wt}?

Definisi Nafs (النَفْسُ) dalam al-Qur’an

Jika diteliti perkataan النَفْسُ daripada perspektif semantik (التَعْرِيْفُ) dalam al-Qur’an dengan lebih lanjut lagi. Sebanyak 295 kali perkataan النَفْسُ disebut dalam bentuk kata nama (الإسْمُ) dalam al-Qur’an, yang membawa pelbagai makna dan maksud yang terikat dengan konteks (context) perkataan tersebut digunakan dalam ayat al-Qur’an, dan kesemuanya boleh dikategorikan kepada EMPAT (4) makna utama.

Makna pertama, DIRI (self), perkataan النَفْسُ dalam bentuk ini paling banyak disebut, dan sering digabungkan dengan kata ganti diri (الضَمِيْرُ) (pronoun) seperti diri saya (قَالَ هِيَ رَاوَدَتْنِي عَنْ نَفْسـِي) (Yunus 12:26), diri kami (قَالُوا شَهِدْنَا عَلَىٰ أَنْفُسِنَا) (al-An’am 6:130), dirinya/dia [lelaki] seorang (فَقَدْ ظَلَمَ نَفْسَهُ) (al-Baqarah 2:231), dirinya/dia [perempuan] seorang (تُجَادِلُ عَنْ نَفْسِهَا) (al-Nahl 16:111), diri mereka [lelaki] ramai (وَمَا يَخْدَعُونَ إِلَّا أَنْفُسَهُمْ) (al-Baqarah 2:9), diri mereka [perempuan] ramai (يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا) (al-Baqarah 2:234), diri kamu [lelaki] seorang (كَفَىٰ بِنَفْسِكَ الْيَوْمَ) (al-Isra’ 17:14), diri kamu [lelaki] ramai (وَتَنْسَوْنَ أَنْفُسَكُمْ) (al-Baqarah 2:44). Diri dalam makna ini lebih menjurus kepada aspek fizikal/luaran manusia.

Makna kedua, DIRI/JIWA (soul/self), perkataan النَفْسُ dalam bentuk ini juga banyak disebut tetapi tidak dikaitkan dengan sebarang kata ganti diri seperti yang disebut dalam ayat (وَاتَّقُوا يَوْمًا لَّا تَجْزِي نَفْسٌ عَن نَّفْسٍ شَيْئًا) (al-Baqarah 2:48), dan dalam ayat (لَا تُكَلَّفُ نَفْسٌ إِلَّا وُسْعَهَا) (al-Baqarah 2:233). Diri dalam makna ini lebih juga menjurus kepada aspek dalaman/kerohanian manusia.

Makna ketiga, MANUSIA (man) atau seseorang (person), contohnya perkataan النَفْسُ dalam ayat (وَإِذْ قَتَلْتُمْ نَفْسًا فَادَّارَأْتُمْ فِيهَا) (al-Baqarah 2:72), yang mengisahkan seorang manusia dibunuh di zaman nabi Musa (a.s), dan kemudian dihidupkan kembali untuk urusan pengadilan.[21]

Makna keempat, NYAWA (life), perkataan النَفْسُ dalam ayat (وَكَتَبْنَا عَلَيْهِمْ فِيهَا أَنَّ النَّفْسَ بِالنَّفْسِ وَالْعَيْنَ بِالْعَيْنِ وَالْأَنفَ بِالْأَنفِ وَالْأُذُنَ بِالْأُذُنِ وَالسِّنَّ بِالسِّنِّ وَالْجُرُوحَ قِصَاصٌ ۚ) (al-Maidah 5:45) ini membawa maksud ‘nyawa’ yang dikaitkan dengan procedur hukuman Qisas (القِصَاصُ) (legal retribution) dalam perundangan Islam. Begitu juga dengan perkataan الأَنْفُسُ (lives) dalam ayat (وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ) (al-Baqarah 2:155) yang membawa maksud ‘nyawa’ yang memperihalkan bahawa Allah (s.w.t) sentiasa menduga manusia dari pelbagai segi termasuk kehilangan ‘nyawa’ mereka.

Kronologi Kejadian Manusia dalam Konsep Nafs (النَفْسُ) ketika Alam Sebelum Dunia (Pre-worldly life)

Jika perkataan النَفْسُ (nafs) dikaji daripada persepktif yang lain, apatah lagi jika dikaji berdasarkan ‘konteks’ perkataan tersebut digunakan, maka akan terbit makna yang amat signifikan (significant). Cuba kita perhatikan perkataan النفس dan perkataan lain yang berkaitan dengannya mengikut perspektif kronologi (chronology) kejadian dan kewujudan manusia sepanjang perjalanan kehidupannya di alam pra-dunia (pre-worldly life), alam dunia (worldly life) dan alam selepas alam dunia (life after death) iaitu alam akhirat (hereafter), yang akan terbentuk konsep ‘kejadian manusia menurut Islam’, yang dibincangkan dalam penulisan seterusnya.

Di alam sebelum dunia, Kewujudan ‘manusia’ (البَشَـر، الإنْسان، النّاس، النَفْس) bermula dengan peristiwa Allah (s.w.t) berbicara kepada para malaikat yang Dia ingin menjadikan ‘khalifah’ (خَلِيفَةً) atau ‘penganti’ (vicegerent, viceroy or successive authority) di muka bumi, dengan sebutan (وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً) (al-Baqarah 2:30), bermaksud ‘dan apabila berkata Tuhanmu kepada malaikat, “Sesungguhnya Aku penjadi [ingin jadikan] di bumi seorang khalifah”. Ibn Khathir,[22] dalam tafsirannya, menyatakan perkataan ‘khalifah’ di sini bermaksud ‘manusia’ yang silih berganti daripada satu generasi ke generasi, daripada satu abad ke satu abad dan seterusnya, yang selari dengan ayat lain yang menyebut (وَهُوَ الَّذِي جَعَلَكُمْ خَلَائِفَ الْأَرْضِ) (al-An’am 6: 165), bermaksud, ‘dan Dia [Allah s.w.t] yang telah menjadikan kamu [manusia] ‘penganti bumi’.

Dengan hasrat (إرادة) Allah (swt) ini, maka terjadilah Adam (a.s) yang merupakan manusia pertama dijadikan, seperti dalam ayat, (وَبَدَأَ خَلْقَ الْإِنسَانِ مِن طِينٍ) (al-Sajdah 32:7), bermaksud, ‘dan bermula kejadian insan [manusia] daripada tanah (clay)’. Seterusnya “dijadikan keturunannya [Adam (a.s)] daripada [pati] air [benih] yang dipandang rendah [tiada bernilai]” seperti disebut (ثُمَّ جَعَلَ نَسْلَهُ مِن سُلَالَةٍ مِّن مَّاءٍ مَّهِينٍ) (al-Sajdah 32:8). Air yang dimaksudkan di sini adalah air mani (النطفة) yang berasal dari pinggang lelaki (sperm), dan air dari antara tulang rusuk wanita (ovum) seperti yang difahami daripada ayat (خَلَقَكَ مِن تُرَابٍ ثُمَّ مِن نُّطْفَةٍ ثُمَّ سَوَّاكَ رَجُلًا) (al-Kahfi 18:37) yang bermaksud, ‘menjadikan kamu daripada tanah/debu [kejadian Adam (a.s)] kemudian daripada air mani [keturunan Adam {a.s}] kemudian dibentukkan kamu dengan sempurna menjadi lelaki. Pada tahap ini, dikenalpasti bahawa inilah proses kejadian manusia daripada aspek jasad/badan/fizikal (جسد), dan seperti yang telah diketahui umum sekarang, khasnya dalam bidang biologi, inilah juga proses biasa yang berlaku kepada semua kejadian makhluk lain yang bersumberkan air mani dalam kategori haiwan bertulang belakang (vertebrate).

Setelah kejadian jasad/fizikal manusia sempurna, Allah (s.w.t) telah menjadikan kejadian manusia tersebut ke tahap/peringkat lain seperti yang disebut sebagai ‘kemudian kami jadikannya [manusia] kepada penciptaan lain’ (ثُمَّ أَنشَأْنَاهُ خَلْقًا آخَرَ ۚ) (another creation) (al-Mu’minun 23:14). Apakah kejadian tersebut? Amat jelas jika diperhatikan sebelum ini, dalam satu surah yang sama, iaitu al-Sajdah (32:7), memperihalkan kejadian manusia pertama nabi Adam (a.s) (وَبَدَأَ خَلْقَ الْإِنسَانِ مِن طِينٍ) sebagai generasi pertama, dan pada ayat berikutnya (al-Sajdah 32:8) dikuti pula dengan kejadian keturunan Adam (a.s) sebagai generasi kedua manusia terjadi menerusi air mani manusia (ثُمَّ جَعَلَ نَسْلَهُ مِن سُلَالَةٍ مِّن مَّاءٍ مَّهِينٍ). Kedua-dua kejadian tersebut mewakili kejadian daripada aspek jasad/badan sahaja. Ayat berikutnya (al-Sajdah 32:9) memperihalkan kejadian manusia daripada aspek kerohanian yang berbunyi (ثُمَّ سَوَّاهُ وَنَفَخَ فِيهِ مِن رُّوحِهِ ۖ) bermaksud, “kemudian setelah sempurna pembentukan [jasad] nya, maka ditiupkan ke dalamnya [jasad tersebut] daripada ruh [ciptaan] Nya (Allah s.w.t)”. Aspek kerohanian manusia inilah yang dimaksudkan dengan ‘ciptaan lain’ (خلقا آخر) yang cuba disampaikan oleh Allah (s.w.t) kepada pengetahuan manusia.

Pandangan ini diperkuatkan dengan meneliti tata-bahasa Arab (نحْو وصرَف),[23] huruf (حرف) (particle/conjunction) ثُمَّ sering bermaksud ‘sesuatu yang berlaku mengikut urutan sebutan/kejadian’ (an order of enunciation). Oleh sebab itu, urutan kejadian nabi Adam {a.s} dituruti pula dengan kejadian anak-anak nabi Adam (a.s), begitu juga, urutan dari kejadian alam jasad (جسدية) (physical/coporeal) manusia, akan juga dituruti oleh kejadian alam rohani (روحانية) (spiritual/incoporeal) manusia.

Sehubungan dengan pandangan di atas, dalam ayat yang lain pula, al-Isra’ (17:85), berkaitan perbahasan mengenai perbezaan di antara الروح (spirit) dan النَفْس (soul), al-Suhaily (dalam Ibn Kathir),[24] menyatakan bahawa الروح yang ditiupkan ke dalam badan manusia disebut النفس, dengan syarat الروح tersebut wujud bergabung dengan jasad (الجسد). Gabungan ini seumpama air [الروح] yang wujud dalam buah anggur [الجسد], bila diperah, air [الروح] tersebut akan menjadi jus atau arak [النفس], tidak lagi air [الروح] seperti kewujudannya yang asal, kecuali jika disebut secara metafora. Begitulah qiasnya, gabungan الروح (Ruh) dan الجسد (Jasad) telah menerbitkan panggilan baru disebut النفس (Nafs), tidak lagi disebut Ruh, walaupun elemen Ruh masih wujud dalam gabungan Ruh-Jasad tersebut. Maka disinilah terbitnya konsep Nafs dalam perbincangan dalam al-Qur’an.

Jadi الروح berubah kewujudannya dari bentuk asal, bila bergabung dengan الجسد menjadi النفس akibat terkesan dengan kewujudan dalam campuran/gabungan, tetapi masih boleh dipisahkan untuk wujud secara berasingan dengan jasad, khasnya ketika tidur ataupun mati, seperti yang disebut oleh al-Qur’an, (اللَّهُ يَتَوَفَّى الْأَنفُسَ حِينَ مَوْتِهَا وَالَّتِي لَمْ تَمُتْ فِي مَنَامِهَا ۖ فَيُمْسِكُ الَّتِي قَضَىٰ عَلَيْهَا الْمَوْتَ وَيُرْسِلُ الْأُخْرَىٰ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى ۚ ) (al-Zumar 39:42), yang bermaksud, “Allah (s.w.t) mewafatkan/memisahkan الأنفس (jiwa-jiwa) [kata jamak bagi النفس] ketika matinya dan ketika tidak mati dalam tidurnya. Maka ditahan yang telah ditentukan kematian ke atasnya, dan menghantar kembali [jiwa] yang lain [ke dalam badannya] sehingga ajalnya telah sampai”. Bahkan makin ketara sebutan النفس, bukan الروح, disebut oleh al-Qur’an untuk bermaksud ‘manusia’ selepas kejadian [manusia] tersebut tergabung (ruh dan jasad), dan kemudiannya dilahirkan di muka bumi ini, seperti juga dalam ayat (لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا) (al-Baqarah 2:286), bermaksud, “Allah {s.w.t} tidak mempertanggung-jawabkan/membebankan النفس (diri) seseorang kecuali apa yang terdaya olehnya”. ‘Nafs’ di sini ditujukan kepada terma ‘manusia’ di alam dunia ini.

Maka jelaslah bahawa kejadian ‘manusia’ adalah gabungan daripada aspek badan/fizikal dan roh/rohani. Dan ciptaan ini berlaku di alam sebelum manusia dilahirkan ke dunia (prenatal) ini, dan setakat ini, kecangihan sains dan teknologi masih belum mampu membuktikan secara material/fizikal alam kerohanian tersebut supaya manusia mampu ‘melihatnya’.

Sesuatu yang juga amat menarik untuk diteliti, khasnya dalam Bahasa Melayu/Inggeris, ialah النفس jika menjurus kepada ‘manusia’ alam fizikal/luaran/kebendaan, ia disebut DIRI (self), sedangkan kalau ia menjurus kepada ‘manusia’ alam rohani, maka النفس bersebut JIWA (soul).

Peristiwa ‘Dialog Ruh-Tuhan’ dalam Kronologi Kejadian Manusia dalam Kehidupan Dunia Pra-Natal (prenatal worldly life)

Berkait rapat dengan beriman dengan perkara ghaib (الغيب) dan beriman kepada al-Kitab (كتاب الله) dalam rukun Iman (الإيمان) umat Islam, dan lanjutan daripada perbincangan yang lepas, mengikut urutan kejadian manusia dalam surah al-Sajdah (32), secara kronologinya, ayat (al-Sajdah 32:7) memperihalkan kejadian manusia pertama nabi ADAM (a.s) (وَبَدَأَ خَلْقَ الْإِنسَانِ مِن طِينٍ) sebagai generasi pertama manusia, dan pada ayat berikutnya (32:8) dikuti pula dengan kejadian KETURUNAN Adam (a.s) sebagai generasi kedua manusia, yang terjadi menerusi air mani (ثُمَّ جَعَلَ نَسْلَهُ مِن سُلَالَةٍ مِّن مَّاءٍ مَّهِينٍ). Kedua-dua kejadian tersebut mewakili kejadian daripada aspek jasad/badan manusia sahaja. Ayat al-Sajdah (32:9) berikutnya memperihalkan kejadian daripada aspek kerohanian manusia yang berbunyi (ثُمَّ سَوَّاهُ وَنَفَخَ فِيهِ مِن رُّوحِهِ ۖ) bermaksud, “kemudian setelah sempurna pembentukan [jasad] nya, maka ditiupkan ke dalamnya [jasad tersebut] daripada ruh [ciptaan] Nya (Allah s.w.t)”.

Amat menarik, dalam ayat yang sama (al-Sajdah 32:9) pula, dilanjutkan dengan sebutan, (وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمْعَ وَالْأَبْصَارَ وَالْأَفْئِدَةَ ۚ قَلِيلًا مَّا تَشْكُرُونَ), bermaksud harfiahnya, ‘dan terjadi bagi kamu [manusia] pendengaran dan penglihatan dan الأفْئِدة (pemahaman), amat sedikit kamu bersyukur’. Umumnya, kita akan memahami bahawa السَمْع (pendengaran) adalah terhasil daripada deria telinga (الأذان) (al-A’raf 7:179) (ears), الأبْصار (penglihatan) daripada mata (الأعْيُن) (al-A’raf 7:179) (eyes), dan الأفئدة (pemahaman) daripada qalb/hati (القلب) (al-A’raf 7:179) (heart). Dan kalau mengikut URUTAN kejadian, kemampuan/kemahian (faculties of) tersebut hanya terhasil/terbit setelah terjadinya peristiwa ‘الروح ditiupkan ke dalam jasad’. Maknanya tanpa tiupan tersebut, kesemua deria-rasa tersebut belum mampu berfungsi. Persoalannya, tidakkah keadaan tersebut menggambar TUJUAN ‘kenapa الروح ditiupkan’? Persoalan lain juga apakah itu الأفئدة? Penterjemah menterjemahkan perkataan الأفئدة sebagai hati (heart), pemahaman (understanding), perasaan (feeling) dan seumpama dengannya. Apakah makna sebenar الأفئدة mengikut semantik, dan kesesuaian perkataan tersebut dalam konteks penggunaannya?

Lanjutan daripada manusia yang telah memiliki ‘kemampuan deria-rasa’ (faculties of senses) di alam kandungan ibu, maka telah terjadi sesuatu yang amat menarik tentang konsep kejadian dan pekembangan manusia mengikut pespektif Islam. Daripada aspek kerohanian (روحانية), setiap manusia, sama ada DISEDARI ATAU TIDAK, telah pernah ‘BERDIALOG’ dengan Allah (s.w.t) di alam kandungan ibunya. Peristiwa ini boleh difahami dalam al-Qur’an yang menyebut, (وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِن بَنِي آدَمَ مِن ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ ۖ قَالُوا بَلَىٰ ۛ شَهِدْنَا ۛ) (al-A’raf 7:172), yang bermaksud, ‘dan [ingatlah] apabila telah mengambil [janji] Tuhanmu [Allah s.w.t] dalam kalangan anak-anak Adam (a.s) daripada [tulang] belakang (loins) mereka (ظُهورِهم) zuriat mereka [manusia], dan telah bersaksi mereka [setiap anak Adam {a.s}] terhadap diri-diri mereka (أنفُسِهم), [bertanya Allah {s.w.t}] “BUKANKAH AKU TUHAN KAMU,” maka mereka [anak-anak Adam {a.s}] berkata, “BENAR [Engkaulah Tuhan kami], KAMI [anak-anak Adam {a.s}] TELAH BERSAKSI”.

Maka fahamlah kita KENAPA penyaksian pengucapan DUA KALIMAH SYAHADAH (كلمة الشهدتين) amat bermakna bagi semua Mukmin/Muslim. Kalimah tersebut ialah PERTAMA, “Aku BERSAKSI sesungguhnya tiada tuhan melainkan ALLAH (s.w.t)” (أشْهَدُ أنَّ لآ إلهَ إلاَّ اللَّهُ), dan kalimah KEDUA, “Aku bersaksi sesungguhnya MUHAMMAD {s.a.w} itu adalah Rasul Allah (أشْهَدُ أنَّ مُحَمَّداً رَسولُ اللَّهِ). Tidakkah pengucapan tersebut adalah penegasan KALI KEDUA setelah manusia dilahirkan didunia, setelah diucapkan pada kali pertama di alam kandungan ibu? Penyaksian kepada Nabi Muhammad {s.a.w} pula adalah amat benar dan tepat kerana tanpa pengakuan keimanan kepada rasul yang meyampaikan wahyu (الوَحىُ) daripada Allah (s.w.t), maka berita dan maklumat kesaksian tersebut tentulah mudah dipersoalkan dan dipertikaikan, dan penyaksian kepada Nabi (s.a.w) juga merupakan salah satu rukun Islam yang melayakkan seseorang digelar Muslim.

Ayat al-A’raf tersebut (7:172), dilanjutkan dengan ‘persoalan masa hadapan’ (akhirat), apabila manusia cuba mencari ALASAN bila ditanya Allah (s.w.t), mengapa manusia tidak beriman dengan PENYAKSIAN (الشهادة) tersebut, maka disebut, (أَن تَقُولُوا يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّا كُنَّا عَنْ هَٰذَا غَافِلِينَ), bermaksud, ‘dengan demikian itu, supaya kamu [manusia] tidak berkata di akhirat kelak, “sesungguhnya kami tentang perkara ini [hakikat Tauhid, kepercayaan kepada keesaan Tuhan] adalah PELUPA/LALAI [dengan peringatan ini]”. Ini adalah ALASAN PERTAMA yang tidak diterima Allah {s.w.t}, maka mereka akan berkata dengan ALASAN KEDUA pula, dengan sebutan, (أَوْ تَقُولُوا إِنَّمَا أَشْرَكَ آبَاؤُنَا مِن قَبْلُ وَكُنَّا ذُرِّيَّةً مِّن بَعْدِهِمْ ۖ أَفَتُهْلِكُنَا بِمَا فَعَلَ الْمُبْطِلُونَ) (al-A’raf 7:173), bermaksud, ‘atau supaya kamu tidak berkata, “sesungguhnya ibu bapa kamilah yang telah syirik (mensekutukan) dahulu, dan sedangkan kami zuriat mereka yang datang kemudian [hanya mengikut mereka], jadi patutkah Engkau [Allah s.w.t] hendak membinasakan kami disebabkan perbuatan terbatal [sesat mereka] itu.”

Amat menarik sekali, lanjutan dari ayat di atas, beberapa persoalan boleh ditimbulkan, seperti: a) Bukankah secara semulajadinya (الفطرة) (by nature) (al-Rum 30:30) begitulah berlakunya dalam konsep kejadian manusia sejak azali lagi, apakah fitrah tersebut? Antaranya, semua manusia telah pun mengenali (معرفة) (knowing), dan mempercayai (الإيمان) (belief/faith) TUHANnya yang Esa/Tunggal (توحيد) (monotheism), iaitu ALLAH (s.w.t) (الله سبحانه وتعالى), sekurang-kurangnya ketika manusia di alam rohani lagi, sebelum manusia dilahirkan ke dunia. Bagaimanapun fitrah tersebut telah berubah oleh kedua ibu bapa mereka, seperti yang dinyatakan oleh pengumpul al-Hadith Abu Hurayrah dalam hadith sahihnya (dalam Ibn Kathir), iaitu manusia dilahirkan dalam keadaan fitrah (الفِطرَة), tetapi kedua ibu bapanya menjadikan dia beragama Yahudi (Jew) atau Nasrani (Christian) atau Zoroastrian (penyembah api).[25] Selain ibu bapa, apakah yang menyebabkan manusia berubah keimanannya? Apakah faktornya? Dimanakah titik perpisahan (missing link) proses tersebut?

Perlu juga diingat bahawa terlalu banyak perkara lain tentang fitrah kejadian manusia (al-A’raf 7:172-174), apa perkara-perkara tersebut? Selari dengan disiplin perkembangan manusia (human developmental psychology), khasnya menurut psikologi Islam (Islamic psychology), dengan fahaman (مَفهُوم) ayat di atas, ‘manusia’ telah mula memiliki minda, pemikiran dan ‘berfikiran logik’ atau seumpamanya sejak manusia di dalam kandungan ibu lagi iaitu setelah الروح ditiupkan. Sedarkah kita? Apakah buktinya?

Dengan fahaman ini juga, mungkinkah ini menjadi penyebab mengapa Muslim, khasnya IBU MUKMIN, diminta sering membacakan, menzikirkan dan memperdengarkan bacaan dan sebutan ayat al-Qur’an dan perkataan yang baik-baik dan bermanfaat kepada ‘bayi kandungan’ mereka yang masih berada di dalam perut mereka. ‘Berbicaralah dengan kandungan anda’ adalah moto yang sering dikatakan di zaman sekarang, kerana ‘kandungan’ tersebut sebenarnya sudah boleh ‘berkomunikasi’, tanpa kita sedari, dengan ibu dan alam persekitarannya.

Kesan daripada peristiwa ‘RUH DITIUPKAN’ ke dalam jasad manusia, apakah makna ‘hakikat sebenarnya’ yang ingin disampaikan? Apakah ‘fungsi’ proses kejadian tersebut? Jom sama-sama kita fikirkan.

Nafs (النَفْسُ) bermaksud Diri Dalaman (psyche) atau Keperibadian (personality)

Daripada 295 kali perkataan النَفْسُ yang disebut dalam bentuk kata nama (الإسْمُ) dalam al-Qur’an, terdapat TIGA terma yang memiliki ciri (characteristic), sifat (trait) (الصفة) dan corak (pattern) diri dalaman (النَّفْسُ) manusia, khasnya jika diukur daripada aspek HUBUNGAN DIRI MANUSIA DENGAN TUHANnya, iaitu Allah (swt). Hubungan ini diukur daripada aspek jauh-dekatnya (التَقَرُّبُ) hubungan manusia dengan Allah (swt). Diri dalaman ini mungkin boleh difahami di zaman sekarang sebagai peribadi (self), keperibadian (personality), psiki manusia (human psyche) dan jiwa (soul). Ia BUKAN bermakna aspek jasad manusia (people/human being) yang bersifat luaran atau jasad (body), tetapi diri dalaman (inner dimension of man) manusia yang disebut jiwa (soul), bersifat kerohanian (روحانية) dan spiritual, yang mencorakkan sifat dan tingkahlaku manusia bagi membentuk satu pengenalan dan identiti diri seseorang tersebut menurut perspektif atau sisi pandang Allah (swt), yang mungkin tidak dilihat sedemikian oleh manusia umumnya. Ini berbeza dengan personaliti/keperibadian dalam psikologi, yang menumpukan kepada pandangan umum (public) terhadap manusia, dan penilaian hubungan MANUSIA DENGAN PERSEKITARANnya, termasuk manusia lain.

Nafs Ammarah (النَفْسُ الأمَّارَةُ)

Dalam disiplin dan kajian Tasawwuf dan Psikologi Islam, jika diukur dari aspek hubungan manusia-Tuhan, dimensi dalaman (inner psyche) atau jiwa (soul) manusia yang paling jauh dari Tuhannya, dan bertahap paling rendah (low layer/stratum) adalah Nafs La’ammaratu bissu’ (النَّفْسُ لَأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ‏). Diri ini bermaksud jiwa/diri yang mengarah (commanding soul) kepada perlakuan kejahatan (لَأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ), yang menghasut manusia kepada kemaksiatan, dan mungkin diterjemahkan oleh ahli falsafah sebagai jiwa yang lebih rendah (lower soul) dan jiwa yang penuh berselera (appetitive soul). Jiwa ini merupakan titik permulaan (locus) atau agen dalaman untuk keinginan diri (desire) yang melampau dan nafsu (passion) yang berapi-api. Jiwa ini juga merupakan kesedaran ego/diri (ego-consciousness) manusia biasa yang terlibat kepada pelbagai godaan (sensuous) dan kelazatan (sensual) keduniaan dan kebendaan.[26]

Corak dan sifat diri ini pernah digambarkan oleh Allah (swt) dalam kisah godaan isteri kepada menteri dan majikan (lord) nabi Yusuf (as), yang tidak dapat menahan nafsu dirinya untuk menggoda nabi Yusuf (as) yang amat tampan, seperti yang disebut dalam al-Quran, ‘Dan saya (isteri kepada Aziz) tidak berani membersihkan diri saya sendiri [dari kecelaan ini]. Sesungguhnya jiwa (النَّفْسُ) itu selalu menyuruh kepada kejahatan (لَأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ).’ (12:53) [27] Gambaran jiwa/diri yang penuh nafsu ini telah dikategorikan oleh para Sufi dan filasuf sebagai Jiwa Ammarah, diri dalaman lapisan pertama (1st spectrum) manusia.

Jiwa/diri Ammarah ini mampu dikendali dan dikawal hanya dengan rahmah Allah (swt) seperti yang disebut, ‘kecuali yang dirahmati Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang’ (إِلَّا مَا رَحِمَ رَبِّي إِنَّ رَبِّي غَفُورٌ رَّحِيمٌ). Dalam hal ini, manusia perlu sentiasa memohon keampunan (إستغفر) dan kerahmatan (إرحم) kepada hanya Allah (swt) agar Diri Ammarah mereka dapat dikawal dan dikendali supaya tidak menjurus kepada kejahatan dan kemaksiatan dalam kehidupan mereka.

Berkaitan dengan agen dalaman yang wujud dalam jiwa manusia, yang menyuruh kepada kejahatan, terdapat satu hadith (saw), yang bermaksud, ‘Tidak ada seorang pun di antara kamu melainkan telah ditugaskan untuknya (قَدْ وُكِّلَ بِهِ) teman daripada Jin (قَرِينُهُ مِنَ الْجِنِّ), dan teman daripada malaikat (قَرِينُهُ مِنَ الْمَلَائِكَةِ). Mereka berkata: Dan [adakah terdapat kepada] kamu wahai Rasulullah? Dia berkata: Dan saya (Muhammad saw) [juga], tetapi Allah menolong saya terhadapnya, lalu dia (qarin dari Jin) memeluk Islam (فَأَسْلَمَ), dan dia hanya menyuruh saya berbuat baik.’ [28] Adakah qarin/teman daripada Jin ini juga adalah bermaksud agen atau lokus kejahatan bermaksud Nafs Ammarah atau yang lain? Penelitian lanjut tentang ini perlu dilakukan.

Nafs al-Lawwamah (النَّفْسُ اللَّوَّامَةُ)

Keperibadian hubungan hamba-Tuhan yang tahap kedua disebut sebagai Nafs al-Lawwamah (النَّفْسُ اللَّوَّامَةُ). Menurut Sufi dan filasuf, [29] bermula dengan lapisan paling bawah (Nafs Ammarah), diri dalaman (psyche) manusia akan meningkat kepada lapisan kedua (2nd spectrum), yang dipanggil al-Nafs al-Lawwamah, secara harfiah bermakna ‘jiwa mengkritik diri’ (blaming soul) atau sering bermuhasabah diri (مُحاسَبَةُ النَّفْسِ). Jiwa ini bersifat sering menilai atau mengkritik dirinya sendiri, yang menyedari sifat jahat dan buruk dirinya. Dengan kata lain, jiwa ini merupakan lokus kepada hati nurani moral (moral conscience). Ego (diri) ini yang terbentuk dalam dimensi ini pada dasarnya adalah ego rasional (rational soul) yang memiliki aqal (عقل) (reason) dan intelek (intellect), jiwa yang memberikan pertimbangan kritis terhadap dirinya sendiri dan orang lain. Keperibadian Jiwa ini pernah disebut di dalam al-Qur’an, dengan sebutan, ‘Tidak sama sekali (benar!), aku bersumpah demi jiwa yang mencela (وَلَا أُقْسِمُ بِالنَّفْسِ اللَّوَّامَةِ ‏)’ (75:2) [30]

Nafs al-Mutma’inah (النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ)

Menurut Sufi dan falsafah Islam, [31] Jiwa/Diri yang paling dekat dengan Tuhan adalah Nafs Mutma’inah (النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ) (Jiwa yang Tenang) (tranquil soul). Jiwa/Diri dalam lapisan ketiga (3rd spectrum) ini, sentiasa dalam keadaan tenang (calm) dan stabil dalam menghadapi pergolakan keinginan (desire) dan nafsu (passion), dan kekalutan pemikiran dan pandangan jiwa ini telah berubah ke arah keheningan (stillness), ketenangan (tranquallity) dan kesepian (quietude). Dimensi jiwa/diri (soul) ini, sering dikaitkan dengan konsep qalbu (القَلْبُ) (heart), yang merupakan teras kerohanian Manusia Bercahaya (man of light). Qalb bermaksud pusat organ (center) kognitif esoterik yang halus/seni (esoteric organs of cognition) yang mampu mencapai aspek misteri dan ajaib. Qalb juga adalah organ kognisi supersensori (supersensory organ of cognition) yang mampu menanggapi alam mistri (mystical experience), seperti juga yang telah dihuraikan dalam penulisan terdahulu.[32] Dalam kalangan Sufi, mereka berteori bahawa ‘Jiwa Berqalbu’ ini, adalah ambang (threshold) untuk menuju kepada dimensi Kewujudan Tuhan (divine dimension of Being), yang berkewujudan cahaya (luminous nature), yang akhirnya tersingkaplah misteri Kewujudan Dua Alam, iaitu di antara alam murni cahaya Tuhan (light of God) dengan alam dunia kegelapan kebendaan (material) di bawah cengkaman Syaitan (dominion of satan).

Di dalam al-Qur’an, tanpa huraian yang penuh berfalsafah dan misteri, Allah (swt) menjelaskan dengan mudah bahawa mereka yang telah mencapai ketaqwaan, ketenangan dan kesempurnaan diri ini akan disahut/dijemput dengan pernuh penghormatan, dengan seruan, ‘(Dikatakan kepada orang-orang yang bertakwa): “Wahai jiwa/diri yang tenang (النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ﴿! Kembalilah kepada Tuhanmu (Allah swt) dengan keadaan yang meredhai dan diredhai (رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً), maka masuklah kamu dalam [kalangan] hamba-hambaKu, dan masuklah kamu ke dalam syorgaKu.” (89:27) [33]

Dilihat daripada penilaian diri manusia, Tradisi Barat mencadangkan penilaian dan keperibadian dalam konteks HUBUNGAN MANUSIA DENGAN ALAM PERSEKITRANnya, termasuk manusia, maka terlahirlah konsep ‘personality’ dalam bidang Psikologi. Manakala al-Qur’an menjelaskan keperibadian manusia dalam konteks HUBUNGAN HAMBA-TUHAN (عِبَادُ اللهُ), yang tergambar dengan jelas dalam konsep Jiwa/Diri manusia (soul/self), yang sebahagiannya disebut dalam konsep NAFS dalam al-Qur’an.

Amat menarik jika diteliti di sini, dalam Nahu Bahasa Arab (النَحْوُ اللغة العربية) (Arabic Grammar), susunan perkataan, contohnya, Nafs al-Mutma’nah disebut sebagai sifat (الصفة) (adjective) dan yang disifatkan/pemilik sifat (الموصوف) (nominal noun), seperti sifat tenang (الْمُطْمَئِنَّةُ) yang dikaitkan dengan pemiliknya nafs (النَّفْسُ), maka terbentuk perkataan (النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ), dan jarang sekali didapati susunan ini dalam mana-mana terma-terma nafs (النَّفْسُ) yang wujud dalam al-Qur’an. Oleh kerana itu, terma sifat dan pemilik sifat ini boleh dibentuk kepada konsep penilaian dan keperibadian manusia sebagai identiti manusia sebenarnya. Konsep keperibdian ini sudah tentu boleh dicerna, dikaji dan dijadikan istilah yang sah dan pratikal dalam pembinaan psikometrik personaliti dalam kajian psikologi Islam.


 

RUJUKAN

Ahmad Absar. 1992. Qur’anic Concepts of Human Psyche. Dlm. Zafar Afaq Ansari (editor). Qur’anic Concept of Human Psyche, hlm. 15-37. Islamabad: Islamic Reasearch Institute Press; Qur’anic Concepts of Human Psyche.pdf: file:///E:/2022-11-24%20Publishing/2022-12-24%20Online%20Library/Tasawwuf/Qur%E2%80%99anic%20Concepts%20of%20Human%20Psyche.pdf

Dictionary. Com. LLC. 2022: Dictionary.com | Meanings and Definitions of Words at Dictionary.com: https://www.dictionary.com/

Dotdash Media, Inc. 2023. Verywell Mind - Know More. Live Brighter.: https://www.verywellmind.com/

Encyclopædia Britannica, Inc. 2023: Encyclopedia Britannica | Britannica: https://www.britannica.com/

GitHub, Inc. 2023: GitHub - ejtaal/mr: Arabic - English word based dictionaries compilation: https://github.com/ejtaal/mr

Ibn Kathir. 2003. Tafsir Ibn Kathir. Terjemahan. Edisi ke-2. Safi al-Rahman al-Mubarakpuri Riyard, et.al. Lebanon: Maktabah al-Dar al-Salam; Tafsir Ibn Khathir : Free Download, Borrow, and Streaming : Internet Archive: https://archive.org/details/TafsirIbnKhathir/TafsirIbnkhathir1/

Kais Dukes, 2009-2017. The Quranic Arabic Corpus: The Quranic Arabic Corpus - Word by Word Grammar, Syntax and Morphology of the Holy Quran: https://corpus.quran.com/

Quran.com. 2023. Hadith, Sunnah.com - Sayings and Teachings of Prophet Muhammad (صلى الله عليه و سلم): https://sunnah.com/

Tanzil - Quran Navigator. 2007-2023: Tanzil Project. Tanzil Documents: https://tanzil.net/docs/home

The Wikimedia Foundation, Inc. 2020: Wikipedia, the free encyclopedia: https://en.wikipedia.org/wiki/Main_Page


 

ENDNOTE



[7] Kendra Cherry. What is Personality? In Dotdash Media, Inc., 2023; Personality: Definition, Theories, & Types (verywellmind.com): https://www.verywellmind.com/what-is-personality-2795416; Kendra Cherry berpendidikan Sarjana Sains dalam pendidikan dari Boise State University dengan minat penyelidikan utama dalam bidang psikologi pendidikan. Beliau juga memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dalam psikologi dari Idaho State University.

[19] (وَالصُّبْحِ إِذَا تَنَفَّسَ﴿التكوير: ١٨﴾‏)

[20] (خِتَامُهُ مِسْكٌ وَفِي ذَٰلِكَ فَلْيَتَنَافَسِ الْمُتَنَافِسُونَ﴿المطففين: ٢٦﴾‏)

[21] Lihat juga dalam ayat taha (طه) (20:40) dan al-Qasas (القَصَص) (28:19, 33).

[25] Sahih Muslim 2658b; In-book reference: Book 46, Hadith 34; USC-MSA web (English) reference: Book 33, Hadith 6423: Sahih Muslim 2658b - The Book of Destiny - كتاب القدر - Sunnah.com - Sayings and Teachings of Prophet Muhammad (صلى الله عليه و سلم): https://sunnah.com/muslim:2658b: dalam penafsiran al-Rum 30:30,

(حَدَّثَنَا حَاجِبُ بْنُ الْوَلِيدِ، حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ حَرْبٍ، عَنِ الزُّبَيْدِيِّ، عَنِ الزُّهْرِيِّ، أَخْبَرَنِي سَعِيدُ بْنُ الْمُسَيَّبِ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّهُ كَانَ يَقُولُ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏"‏ مَا مِنْ مَوْلُودٍ إِلاَّ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ وَيُنَصِـّرَانِهِ وَيُمَجِّسَانِهِ كَمَا تُنْتَجُ الْبَهِيمَةُ بَهِيمَةً جَمْعَاءَ هَلْ تُحِسُّونَ فِيهَا مِنْ جَدْعَاءَ‏.‏ ثُمَّ يَقُولُ أَبُو هُرَيْرَةَ وَاقْرَءُوا إِنْ شِئْتُمْ): (فِطْرَةَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لاَ تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ)‏‏

[26] Ahmad Absar. 1992. Qur’anic Concepts of Human Psyche, hlm. 31-32.

[27] (وَمَا أُبَرِّئُ نَفْسِي إِنَّ النَّفْسَ لَأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلَّا مَا رَحِمَ رَبِّي إِنَّ رَبِّي غَفُورٌ رَّحِيمٌ ﴿يوسف: ٥٣﴾‏)

[28] Mishkat al-Masabih 67 - Faith - كتاب الإيمان - Sunnah.com - Sayings and Teachings of Prophet Muhammad (صلى الله عليه و سلم): https://sunnah.com/mishkat:67

وَعَنِ ابْنِ مَسْعُودٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: " مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ إِلَّا وَقَدْ وُكِّلَ بِهِ قَرِينُهُ مِنَ الْجِنِّ وَقَرِينُهُ مِنَ الْمَلَائِكَةِ. قَالُوا: وَإِيَّاكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: وَإِيَّايَ وَلَكِنَّ اللَّهَ أَعَانَنِي عَلَيْهِ فَأَسْلَمَ فَلَا يَأْمُرُنِي إِلَّا بِخَيْرٍ ". رَوَاهُ مُسلم (المرجع: مشكاة المصابيح 67؛ المرجع في الكتاب: الكتاب الأول ، الحديث 61)

Sahih Muslim 2814a - Characteristics of the Day of Judgment, Paradise, and Hell - كتاب صفة القيامة والجنة والنار - Sunnah.com - Sayings and Teachings of Prophet Muhammad (صلى الله عليه و سلم): https://sunnah.com/muslim:2814a

حَدَّثَنَا عُثْمَانُ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ، وَإِسْحَاقُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ، قَالَ إِسْحَاقُ أَخْبَرَنَا وَقَالَ، عُثْمَانُ حَدَّثَنَا جَرِيرٌ، عَنْ مَنْصُورٍ، عَنْ سَالِمِ بْنِ أَبِي الْجَعْدِ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏"‏ مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ إِلاَّ وَقَدْ وُكِّلَ بِهِ قَرِينُهُ مِنَ الْجِنِّ ‏"‏ ‏.‏ قَالُوا وَإِيَّاكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ ‏"‏ وَإِيَّاىَ إِلاَّ أَنَّ اللَّهَ أَعَانَنِي عَلَيْهِ فَأَسْلَمَ فَلاَ يَأْمُرُنِي إِلاَّ بِخَيْرٍ ‏"‏ ‏.‏( المرجع: صحيح مسلم 2814 أ؛ المرجع في الكتاب: كتاب 52 ، الحديث 62)

[29] Ahmad Absar. 1992. Qur’anic Concepts of Human Psyche, hlm. 32.

[30] (وَلَا أُقْسِمُ بِالنَّفْسِ اللَّوَّامَةِ ﴿القيامة: ٢﴾)

[31] Ahmad Absar. 1992. Qur’anic Concepts of Human Psyche, hlm. 32.

[32] Perbincangan lanjut mengenai QALB telah dihuraikan oleh penulis dalam artikal bertajuk: Makna Brain (otak), Konsep Heart (hati spiritual) dan Mind (minda) mengikut Pandangan Semasa, dengan Konsep Qalb (القَلْبُ) menurut Al-Qur’an: Satu Penelitian Perbandingan.

[33] (يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ ﴿الفجر: ٢٧﴾‏)

(يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ ﴿٢٧﴾‏ ارْجِعِي إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً ﴿٢٨﴾‏ فَادْخُلِي فِي عِبَادِي ﴿٢٩﴾‏ وَادْخُلِي جَنَّتِي ﴿٣٠﴾)

No comments:

Post a Comment

PENGANTAR FALSAFAH: APA ITU FALSAFAH?

  PENGANTAR FALSAFAH / INTRODUCTION TO PHILOSOPHY ISI KANDUNGAN Pengenalan tentang Falsafah sebagai satu disiplin akademik di peringkat pen...